Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut dalam rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, baru-baru ini.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan 0.5 batu nautika di timur Tanjung Melanim selepas melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang serta berpotensi merosakkan ekosistem marin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata penggunaan lampu di dasar laut merupakan kaedah penangkapan ikan yang dilarang kerana ia boleh menarik hidupan marin secara tidak terkawal sekali gus mengganggu keseimbangan ekosistem laut.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati dokumen pengenalan diri kru bot meragukan selain gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pertukaran juragan,” katanya pada Selasa.
Menurutnya lagi, pemeriksaan turut mendapati dua kru warga Filipina berusia masing-masing 54 dan 19 tahun berada di atas bot berkenaan. Kesemua kru bersama bot terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Khairulanuar berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penangkapan ikan yang melibatkan penggunaan lampu bawah air kerana amalan itu memberi kesan buruk terhadap sumber perikanan negara serta menjejaskan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Jika dibiarkan berterusan, aktiviti ini bukan sahaja menjejaskan nelayan yang mematuhi undang-undang malah turut mengancam kelestarian sumber marin serta sumber pendapatan generasi akan datang,” katanya.
Beliau menambahsemua nelayan dan kru vesel diwajibkan mematuhi undang-undang perikanan negara serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.
“Tindakan tegas termasuk penahanan vesel dan pengenaan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Maritim Malaysia menggesa orang awam dan komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera.
Sebarang maklumat boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di 088-387774 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan pantas.