NABAWAN: Seramai 737 pelajar sekolah rendah dan menengah mendapat perkhidmatan gunting rambut percuma dalam program Kembali ke Sekolah 2026, baru-baru ini.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Nabawan Ag Azuan Pg Hamzah berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama tiga kedai gunting rambut di daerah ini selama dua hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan dengan kerjasama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Nabawan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa.
“Sekurang-kurangnya kita dapat membantu ibu bapa yang kurang mampu dalam membiayai anak-anak apabila kembali ke sekolah.
“Bayangkan kalau ada ibu bapa yang mempunyai tiga anak ke sekolah sudah tentu mereka memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk membeli keperluan sekolah yang lain, jadi kita bantu sikit-sikitlah dari segi gunting rambut,” katanya selepas merasmikan progam itu pada Sabtu.
Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemui menyambut baik program itu.
“Dengan adanya program ini ia dapat membantu terutama bagi ibu bapa yang mempunyai taanggungan yang ramai,” kata mereka.
Mereka berharap program yang lebih menjurus kepada membantu pelajar dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia memberi manfaat kepada anak-anak sekolah.