Kota Kinabalu: Persatuan Pesara Kerajaan Sabah memperbaharui rayuannya supaya pesara Persekutuan di negeri ini turut dimasukkan dalam bantuan khas RM1,000 yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri tahun lalu.
Presidennya Wilfred Lingham berkata kira-kira 3,040 pesara Persekutuan, mewakili hampir 30 peratus daripada 8,146 ahli persatuan itu, dikecualikan daripada bayaran one-off berkenaan yang hanya diberikan kepada pesara negeri.
“RM1,000 ini diumumkan sebagai tanda penghargaan kepada pesara namun malangnya pesara Persekutuan yang juga rakyat Sabah telah diketepikan,” katanya kepada pemberita di pejabat persatuan itu.
Wilfred berkata persatuan berkenaan telah mengemukakan rayuan pertama kepada Kerajaan Negeri pada Mac tahun lalu namun permohonan itu ditolak pada Mei, diikuti satu lagi penolakan pada Ogos. Rayuan kedua kemudian dihantar pada September dengan mengemukakan alasan mengapa pesara Persekutuan juga wajar dipertimbangkan.
Walaupun kebanyakan pesara telah berkhidmat secara purata selama 30 tahun, mencurahkan tahun-tahun terbaik kehidupan mereka kepada perkhidmatan awam.
“Selepas bersara, kebanyakan pesara hanya menerima kira-kira 60 peratus daripada gaji mereka dan majoritinya kini hidup dengan pendapatan RM2,500 atau kurang sebulan iaitu di bawah garis kemiskinan,” katanya sambil menambah, bantuan RM1,000 itu amat bermakna kepada mereka yang terjejas.
Lingham turut menekankan bahawa pesara berdepan cabaran besar selepas persaraa termasuk masalah kesihatan, kesunyian dan kemurungan, selain ramai yang bergelut dari segi kewangan walaupun menerima pencen bulanan.
Beliau berkata persatuan itu giat menganjurkan program dan aktiviti di 22 daerah di Sabah bagi memastikan pesara terus aktif dari segi sosial dan mental termasuk majlis penghargaan tahunan untuk mengiktiraf pesara yang telah menyumbang kepada masyarakat.
Merujuk kepada komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Lingham berkata pemulangan 40 peratus hasil kepada Sabah sepatutnya membolehkan bonus itu diperluaskan kepada pesara Persekutuan.
“Jika 40 peratus itu disalurkan kepada Sabah, pembayaran bonus RM1,000 kepada beberapa ribu pesara boleh dilaksanakan,” katanya.
Wilfred turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian geran yang membolehkan persatuan itu beroperasi dan menyokong ahlinya di seluruh negeri.
“Kami berterima kasih atas sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri yang membolehkan kami melaksanakan tanggungjawab kepada para pesara di seluruh Sabah,” katanya.
Sementara itu, Wilfred berkata persatuan berkenaan baru-baru ini menganjurkan Majlis Malam Suara Emas Pesara 2025 yang berlangsung di sini pada 27 Disember lalu dan dihadiri 290 peserta dari pelbagai daerah di Sabah.
Program terbabit dianjurkan persatuan itu dengan sokongan penuh Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) yang menyediakan peruntukan bagi memastikan kejayaan penganjuran program berkenaan.
Beliau berkata majlis itu menampilkan persembahan vokal berkumpulan dan Pertandingan Bakat Pesara, selain penyampaian Anugerah Pesara Bestari bagi kategori lelaki dan wanita.
Majlis berkenaan turut memberi penghormatan kepada dua pemimpin pesara dari Tuaran yang telah meninggal dunia menerusi Anugerah JasaMu Dikenang dengan penyampaian plak dan sumbangan wang tunai kepada ahli keluarga mereka, selaras tema “Ageing with Dignity.”