Kota Kinabalu: Sekolah Menengah (SM) Kian Kok sekali lagi mencatat prestasi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan merekodkan kadar lulus keseluruhan 97.17 peratus bagi semua mata pelajaran serta mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 3.64 meletakkannya dalam kategori Baik.
Keputusan SPM 2025 ini mencerminkan kecemerlangan berterusan sekolah dalam kualiti akademik dan pendidikan holistik.
Seramai 149 calon menduduki peperiksaan tersebut dengan pencapaian memberangsangkan. Chong Jing Yeng muncul sebagai pelajar lelaki terbaik dengan 12A (termasuk 7A+) manakala Daphne Chan menjadi pelajar perempuan terbaik dengan 11A (termasuk 9A+). Shevonne Tsen Ying Xuan turut meraih 11A.
Enam pelajar memperoleh 10A iaitu Ashton Lai Jia Xun (semua A), Xavier Wong Kwan (semua A), Tee Yu Xin (semua A), Amanda Yeo Zi Qi, Hugo Ng Wen Yi dan Chloe Lea James sekali gus membuktikan standard akademik kohort yang tinggi dan seimbang.
Sekolah itu merekodkan kadar lulus bagi semua mata pelajaran seperti berikut: Bahasa Melayu 100 peratus, Bahasa Inggeris 100 peratus, Bahasa Cina 95.83 peratus, Matematik 99.33 peratus, Sains 100 peratus, Sejarah 97.99 peratus, Pendidikan Moral 89.44 peratus, Matematik Tambahan 100 peratus, Biologi 100 peratus, Kimia 100 peratus, Fizik 100 peratus, Prinsip Perakaunan 91.43 peratus, Perniagaan 94.62 peratus, Ekonomi 100 peratus, Geografi 100 peratus, Pendidikan Seni Visual 100 peratus dan Pendidikan Islam 83.33 peratus.
Pada pagi pengumuman keputusan Lembaga Pengelola yang diketuai pengerusinya Datuk Clement Yeh melawat sekolah bagi meneliti keputusan dan menerima analisis prestasi terperinci daripada pihak pengurusan.
Lembaga itu menyatakan kepuasan terhadap pencapaian pelajar manakala Yeh merakamkan tahniah kepada pelajar serta penghargaan kepada guru atas dedikasi dan profesionalisme mereka.
Pengetua Goh Teck Seng berkata sejak 2024 sekolah itu memperkenalkan laluan akademik pelbagai bagi memperluas peluang masa depan pelajar.
Menurutnya laluan pertama iaitu Program UEC + SPM membolehkan pelajar menduduki Junior UEC (JUEC) di Tingkatan Tiga, SPM di Tingkatan Lima dan Senior UEC (SUEC) di Tingkatan Enam sekali gus membuka peluang melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
Laluan kedua, Program IGCSE + SPM pula menawarkan kebanyakan mata pelajaran dalam bahasa Inggeris kecuali subjek SPM dan Bahasa Cina dengan pelajar menduduki peperiksaan Cambridge IGCSE dalam tempoh dua tahun sebelum mengambil subjek teras SPM.
Beliau berkata laluan ini menyediakan pelajar untuk A-Level atau program asas dan sesuai bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian ke Australia, New Zealand atau negara Barat. Program ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa dan kohort pertama dijadualkan menduduki peperiksaan IGCSE pada 2027.
Di peringkat menengah atas, sekolah menawarkan tiga aliran iaitu Sains, Perdagangan dan Seni Kulinari bagi memenuhi minat dan bakat pelajar.
Program Seni Kulinari dijalankan dengan kerjasama Institut Teknologi Li-Ming di Taiwan di mana graduan boleh melanjutkan pengajian terus ke program ijazah kulinari berdasarkan keputusan sekolah.
Pada 2025 lapan pelajar daripada kohort pertama Seni Kulinari menyambung pengajian di institusi tersebut, manakala 15 daripada 16 pelajar kulinari berjaya memperoleh sijil SPM.
Selain itu sekolah turut menitikberatkan pembangunan holistik pelajar termasuk kesejahteraan fizikal dan mental.
Di samping program kulinari sekolah memperkenalkan aktiviti berasaskan teknologi seperti projek kenderaan elektrik, operasi dron dan pengaturcaraan robotik bagi meningkatkan literasi teknologi, kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah pelajar.
Goh turut mengumumkan bahawa pengambilan pelajar Tingkatan Satu bagi sesi 2027 akan bermula pada Julai tahun ini dan menggalakkan ibu bapa memilih sekolah tersebut untuk pendidikan menengah anak-anak mereka.
Beliau berkata sekolah kekal komited melahirkan individu seimbang dengan nilai murni, kecekapan akademik serta tanggungjawab sosial, sebagai persediaan menjadi tonggak masa depan negara.