Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) bakal melaksanakan Program Mentor Mentee dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda berjaya dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan di negeri ini.
Menterinya Datuk Jamawi Jafar berkata demikian selepas menjemput sahabat lamanya Gerald Wong yang juga penerima anugerah berprestij “The 7th Asean Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award” ke kementerianya pada Khamis.
“Maffi sebulat suara bersetuju melantik Gerald Wong sebagai mentor dalam program berkenaan dengan mengambil kira pencapaian cemerlang beliau dalam bidang pertanian moden walaupun masih di usia muda.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan beliau dan percaya pengalaman serta kepakaran yang dimiliki mampu menjadi inspirasi serta panduan kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang pertanian secara lebih moden dan berdaya saing,” katanya.
Dalam perkembangan sama Datuk Jamawi turut memaklumkan bahawa beliau telah memilih 12 orang anak muda yang berjaya dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan untuk berperanan sebagai mentor kepada golongan belia lain.
Kesemua mentor ini akan berganding bahu bersama beliau dan Maffi dalam pelaksanaan Program Jelajah Kebun Dapur yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha memperkasa keselamatan makanan dan ekonomi luar bandar Sabah.
“Diharapkan segala perancangan ini dapat dipermudahkan dan memberi manfaat besar kepada pembangunan belia serta sektor agromakanan negeri,” tambahnya.