Kota Kinabalu: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima tahun kerana mengulangi kesalahan mengambil syabu.
Heldy Soubin, 45, dan Herwandi Roselane, 46, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir.
Advertisement

Heldy dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan selepas air kencingnya didapati positif syabu pada jam 6.20 petang, 3 September 2025 di sebuah balai polis.
Beliau mempunyai satu rekod sabitan terdahulu di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana berulang kali mengambil syabu.
Heldy didakwa mengikut Seksyen 39C(2) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 13 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu Herwandi dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan selepas air kencingnya disahkan positif syabu pada jam 11.10 malam, 4 Oktober 2025 di balai polis yang sama.
Beliau mempunyai dua rekod sabitan terdahulu bagi kesalahan sama.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh ditempatkan di bawah pengawasan polis selepas tamat tempoh pemenjaraan iaitu selama tiga tahun bagi Heldy dan dua tahun bagi Herwandi.
Dalam rayuan meringankan hukuman kedua-dua tertuduh memohon belas ihsan mahkamah.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon hukuman yang bersifat pencegahan dikenakan memandangkan kedua-duanya mengulangi kesalahan mengambil syabu.