PITAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu masih gagal ditemui.
Memasuki hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilaporkan hilang di kawasan kebun getah Kampung Mansuit, Bongkol.
Berdasarkan maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 petang pada Sabtu lalu menerusi talian balai.
Bomba bertindak menghantar empat anggota diketuai Komander Operasi Gabuh Maradan bersama agensi lain termasuk polis, APM dan orang awam bagi mencari mangsa yang dikenali sebagai Syivience Mongudal dan berusia 52 tahun.
Menurut saksi iaitu bapa saudara pengadu pada 18 Mac dia ada ternampak mangsa membersihkan kawasan kebun namun mangsa tidak pulang ke rumahnya selepas itu.
Katanya ahli keluarga bersama penduduk kampung telah berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan kebun namun mangsa masih gagal ditemukan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pitas berhubung kejadian pada jam 4.31 petang, Jumaat lalu.