Kota Kinabalu: Seorang guru dari SMKA Tun Datu Mustapha tempat Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah menuntut memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau mempelajari definisi perbuatan membuli melalui siaran radio Sabah FM yang didengarinya setiap hari.
Nur Asimah Zaiton, saksi ke-55 yang meneruskan keterangannya pada Selasa berkata beliau sering mendengar definisi buli yang diulang-ulang oleh penyampai radio Sabah FM serta dalam program siaran stesen tersebut.
Beliau menjawab soalan peguam Shahlan Jufri berhubung pemahamannya tentang maksud buli dalam prosiding inkues kematian Zara.
Asimah berkata beliau mendengar definisi buli setiap hari di Sabah FM dan perkataan “berulang” sering ditekankan dalam siaran tersebut.
Apabila ditanya sebagai seorang warden apakah maksud buli Asimah menjelaskan bahawa buli ialah perbuatan atau kata-kata yang bertujuan menyakiti seseorang secara berulang kali.
Beliau turut menerangkan bahawa “berulang” bermaksud perbuatan itu tidak berlaku sekali sahaja sebaliknya berlaku banyak kali dalam satu jangka masa tertentu sama ada bulanan atau tahunan.
Shahlan kemudian mengemukakan contoh sekiranya anak perempuannya ditampar sekali adakah itu tidak dianggap buli. Asimah bersetuju bahawa satu kejadian sahaja tidak dikategorikan sebagai buli berdasarkan definisi yang difahaminya.
Apabila ditanya sama ada definisi tersebut dirujuk daripada garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) atau siaran radio Asimah mempertahankan bahawa kedua-duanya wajar diikuti.
Beliau juga bersetuju bahawa perbuatan memijak anak seseorang sekali sahaja bukanlah buli namun masih perlu dilaporkan kepada pihak sekolah supaya kejadian itu tidak berulang.
Menurut Asimah walaupun sesuatu perbuatan itu tidak diklasifikasikan sebagai buli ia tetap merupakan perbuatan yang tidak baik dan tidak wajar dibiarkan begitu sahaja.
Dalam keterangannya yang lain Asimah memaklumkan bahawa beliau bersama pihak pentadbir sekolah telah menziarahi ibu Zara pada 22 Julai lalu.
Katanya, tujuan lawatan tersebut adalah untuk “menyantuni” ibu Zara serta menyampaikan permohonan maaf daripada pihak sekolah.
Selain itu pihak sekolah juga memberi maklum balas berhubung permintaan ibu Zara untuk mendapatkan salinan laporan polis yang dibuat oleh Ustaz Azhari.
“Asanjang pertemuan di rumah ibu Zara hanya pengetua Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Ustaz Azhari yang bercakap.
“Kebanyakan perbincangan adalah mengenai salinan laporan polis dan saya difahamkan laporan itu telah dibuat di Balai Polis Kepayan,” katanya.
Asimah turut memaklumkan bahawa beliau tidak pasti sama ada pihak sekolah telah memaklumkan secara terperinci kepada ibu Zara tentang apa yang berlaku sebelum Zara ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolah kerana pertemuan tersebut berlangsung dalam tempoh yang singkat.
Beliau juga tidak pasti sama ada pengetua memaklumkan bahawa kejadian itu telah diklasifikasikan sebagai kes polis.
Berhubung sumbangan wang berjumlah RM600 daripada pihak sekolah, Asimah berkata beliau mengetahui mengenai sumbangan tersebut namun tidak mengetahui jumlah sebenar wang yang dimasukkan ke dalam sampul berkenaan.