Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengunjungi SMKA Tun Datu Mustapha sebanyak enam kali selepas insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Nurul Shahadah Ibrahim, 38, berkata tarikh lawatan yang beliau ingat ialah pada 21 Julai, 26 Julai, 15 Ogos, 4 Ogos, 17 Julai dan 1 November tahun ini.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa KPM turut hadir ke sekolah dan bertemu dengan semua guru.
Menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad, Nurul berkata beliau tidak menganggap kunjungan KPM itu sebagai satu mesyuarat rasmi kerana ia sekadar lawatan untuk bertemu guru-guru serta memberi motivasi memandangkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya tinggal beberapa hari ketika itu.
“Sebagai contoh saya sendiri mengajar pelajar SPM pada tahun ini dan apabila KPM turun berjumpa guru seperti kami ia benar-benar meningkatkan semangat kami.
“Dan kami percaya kehadiran KPM pada hari itu sangat bermakna buat kami. Ia menunjukan bahawa sebagai guru SPM yang terlibat secara langsung dalam kes ini kami tidak boleh mengabaikan calon-calon kerana mereka benar-benar memerlukan kami.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang datang memberi motivasi kepada kami kerana kami juga adalah guru dan di belakang kami ada para pelajar yang bergantung harap kepada kami.
“Oleh itu kami melakukan yang terbaik untuk memikul tanggungjawab ini,” katanya.
Menjawab satu lagi soalan Nurul berkata terdapat satu ketika KPM hadir ke sekolah bagi mengadakan mesyuarat untuk memahami kronologi kes Zara.
Katanya lawatan-lawatan lain lebih berbentuk program sokongan untuk menunjukan sokongan kepada para guru manakala JPN dan PPD pula masing-masing membuat dua lawatan ke sekolah untuk mendapatkan maklumat berkaitan kes tersebut.
Nurul turut memberitahu Koroner bahawa pihak sekolah tidak memaklumkan kepada PPD, JPN atau KPM mengenai siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Apabila ditanya mengapa pihak sekolah tidak memaklumkan tentang siasatan dalaman itu beliau berkata siasatan tersebut hanya bertujuan untuk rekod dalaman sekolah.
Clarice: Adakah pihak sekolah menunggu polis meminta sebelum menyerahkan rekod tersebut?
Nurul: Besar kemungkinan begitu. Kami pasti akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
Clarice: Mengapa menunggu polis atau mahkamah meminta terlebih dahulu sebelum pihak sekolah menyerahkan rekod?
Nurul: Kerana kami tahu terdapat siasatan polis jadi pada masa itu kami merasakan tidak perlu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Clarice: Bagaimana pihak berkuasa seperti polis boleh mengetahui sedangkan mereka langsung tidak dimaklumkan tentang siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak sekolah?
Nurul: Sehingga kini kami tidak pernah mempunyai kes di mana kami menyerahkan laporan siasatan dalaman serta kenyataan bertulis yang diperoleh kepada pihak polis.
Jika kami menyerahkan dokumen itu seolah-olah kami tidak mempercayai sepenuhnya pihak polis. Tambahan pula siasatan dalaman yang kami jalankan pada asalnya hanya bertujuan sebagai rekod dalaman untuk menunjukan bahawa kami telah mengambil tindakan selepas mengetahui tentang kes ini.