Kota Kinabalu: Seorang guru kelas yang mengajar Allahyarham Zara Qairina Mahathir selama tiga bulan sebelum insiden berlaku dengan yakin mengenal pasti tulisan tangan dalam diari Zara sebagai miliknya.
Mohamad Zabidi Husain, 34, saksi ke-52 dalam siasatan kematian itu memberitahu Koroner pada Selasa bahawa beliau dapat mengenali tulisan tangan Zara dengan keyakinan 100 peratus.
Advertisement

Semasa disoal oleh peguam Elmer Prem Gunasan, Zabidi ditunjukan gambar catatan daripada diari Zara.
Elmer: Cikgu, cikgu kata cikgu boleh cam tulisan Zara?
Zabidi: Ya.
Elmer: Cikgu pasti?
Zabidi: Ya.
Elmer: Cikgu yakin boleh cam 100 peratus jika ditunjukkan?
Zabidi: Ya.
Elmer: Cikgu lihat gambar ini. Adakah ini tulisan Zara?
Zabidi: Ya betul.
Elmer: Bagaimana cikgu tahu?
Zabidi: Saya guru kelasnya dan saya kenal cara dia tulis huruf ‘J’.
Elmer: Apa yang istimewa tentang huruf ‘J’ Zara?
Zabidi: Ia kelihatan seperti mata kail.
Zabidi berkata beliau tidak pernah melihat atau membaca diari Zara sebelum ini dan tidak tahu kandungannya telah tersebar luas dalam kalangan guru di SMKA Tun Datu Mustapha.
Beliau memberikan keterangan bahawa kali terakhir melihat Zara ialah pada 10 Julai dalam kelas Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Zara kelihatan normal, tidak menunjukkan tingkah laku pelik dan tidak kelihatan tertekan.
Beliau berkata beliau pernah menegur Zara kerana berbual dengan rakan sekelas sebelum Zara kembali meneruskan latihan bertulis dengan senyap.
Beliau menggambarkan Zara sebagai ceria, tidak mempunyai masalah disiplin dan kelihatan sangat rapat dengan “Pelajar A” yang kemudian dipindahkan ke sekolah lain pada 14 Ogos.
Beliau menambah bahawa Pelajar A pernah mengemukakan sijil cuti sakit sebanyak empat kali.
Zabidi yang masih mengajar di sekolah berkenaan berkata beliau tidak pernah menerima aduan daripada guru lain sepanjang menjadi guru kelas Zara.
Menjawab soalan Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari beliau mengesahkan bahawa Zara pernah menconteng meja dengan menulis “Zara Comel, Zara 1 Fatimah…”. Zara mengaku melakukannya dan beliau mengarahkan murid itu membersihkannya.
Sebagai guru kelas 1 Fatimah, Zabidi mengakui bahawa guru bertanggungjawab mengekalkan disiplin bilik darjah.
Menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad beliau berkata tidak pernah menerima laporan masalah disiplin atau buli dalam kalangan pelajar 1 Fatimah sejak mengambil alih kelas itu pada 13 April.
Beliau juga tidak pasti jika terdapat kes kecurian berlaku.
Inkues bersambung pada Rabu.