PAPAR: Kewibawaan calon BN bagi kerusi Bongawan, Datuk Mohamad Alamin dipersoal selepas hampir dua penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis namun pembangunan di kawasan itu masih tidak menepati harapan rakyat.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bongawan, AK Jamaluddin Pg Mohd Yassin (
gambar) berkata kegagalan itu terserlah apabila janji membina Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis sejak kempen PRK Kimanis 2020 masih belum dilaksanakan.
Beliau berkata kedua-dua projek itu dijadikan agenda utama untuk memperkasa golongan muda namun selepas hampir lima tahun, penduduk Kimanis dan Bongawan terus menunggu janji yang tidak menjadi kenyataan.
“Mini Stadium Kimanis yang dijanjikan tidak pernah dibina, manakala Kolej Komuniti Kimanis yang diluluskan semasa Tan Sri Anifah Aman menjadi Ahli Parlimen Kimanis pula tidak diteruskan oleh Mohamad,” katanya.
Menurutnya, kegagalan itu menimbulkan persoalan bagaimana rakyat ingin mempercayai janji pembangunan seterusnya sedangkan rekod lalu menunjukkan kelemahan menunaikan janji kepada belia.
“Inilah perbezaan antara pemimpin ‘trend setter’ seperti Tan Sri Anifah Aman berbanding Mohamad sebagai anak didik beliau tetapi tidak mampu memenuhi keperluan Bongawan,” katanya.
Beliau berkata adalah sukar menerima bahawa Mohamad mahu menjadi wakil rakyat Bongawan sedangkan sebagai Ahli Parlimen Kimanis pembangunan di kawasan itu masih “hambar” apatah lagi dengan tanggungjawabnya sebagai Timbalan Menteri Luar.
Jamaluddin mendakwa ramai rakyat termasuk ahli Umno Kimanis sendiri berpendapat Mohamad “tamak” kerana masih mahu bertanding di Bongawan walaupun peluang itu wajar diberikan kepada pemimpin muda lain.
Katanya, Mohamad sebenarnya boleh terus membantu Bongawan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Kimanis yang turut merangkumi kawasan tersebut tanpa perlu menjadi wakil rakyat negeri.
“Janji dan kerja sebagai Ahli Parlimen Kimanis pun belum beliau siapkan, jadi bagaimana mahu tambah lagi beban dengan menjadi wakil rakyat Bongawan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Mohamad sudah mampu membantu Bongawan termasuk Membakut sebagai Ahli Parlimen dan berkata sikap tamak hanya merugikan rakyat.
“Biarlah pemimpin lain yang lebih berpengalaman, mempunyai masa dan hubungan seperti Tan Sri Anifah untuk membantu tanpa perlu menjadi MP atau Adun,” katanya.
Beliau berkata kegagalan Mohamad bukan sahaja melibatkan projek besar tetapi juga isu semasa seperti sisa bangunan kedai lama terbakar di Pekan Bongawan yang masih terbiar.
Menurutnya, tapak terbengkalai itu menjadi simbol ketidakpedulian Mohamad terhadap keadaan sebenar di lapangan.
“Daripada situasi ini, beliau dilihat tidak mampu merancang, melobi atau memastikan apa-apa projek dilaksanakan walaupun kecil,” katanya.
Jamaluddin menegaskan kegagalan menunaikan janji kepada belia serta kelemahan mengurus isu asas membuktikan Mohamad tidak layak diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17.
Beliau berkata kekurangan Mohamad terserlah apabila beliau terus mengharapkan kehadiran kepimpinan Umno Pusat sebagai ‘talian hayat’ dalam kempen di Bongawan.
“Kebergantungan beliau terhadap pemimpin Semenanjung menunjukkan beliau tidak yakin dengan jenteranya sendiri yang terdiri daripada anak-anak tempatan,” katanya.
Katanya, perkembangan itu dilihat sebagai “tamparan” kepada autonomi politik Sabah yang sekian lama memperjuangkan maruah di bawah semangat MA63.
“Situasi ini juga memperlihatkan seolah-olah Sabah khususnya Bongawan ketandusan pemimpin hingga perlu bergantung kepada orang luar,” katanya.
Beliau berkata rakyat Bongawan mahukan wakil rakyat yang mampu bekerja dan menjadi pejuang sejati MA63 seperti Tan Sri Anifah Aman.
Menurutnya, perjuangan Anifah menuntut pelaksanaan MA63 telah terbukti sejak dahulu walaupun terpaksa melawan arus semasa menjadi Ahli Parlimen Kimanis dan Menteri Luar.