Kota Kinabalu: Isu keselamatan tidak sepatutnya dipolitikan oleh mana-mana pihak atau individu khususnya ketika pilihan raya kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.
Khalid berkata unsur politik tidak boleh dicampuradukan dengan isu keselamatan terutama jika ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada kerjasama antara pihak berkaitan.
“Dalam hal keselamatan tidak sepatutnya dipolitikan kerana ia adalah perkara yang sangat penting, tidak boleh diabaikan, tiada dikompromi atau dijadikan asas untuk dipolitikan.
“Sebab itu dalam soal keselamatan penting untuk kita menjalin hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selain tidak seharusnya ada cubaan menghasut kebencian kerana ini akan membebankan kami di peringkat Persekutuan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan TLDM Sepanggar pada Ahad.
Menekankan perpaduan beliau berkata nilai itu juga harus diterapkan bukan sahaja antara kerajaan tetapi juga dalam kalangan anggota tentera bagi memastikan pasukan dapat berfungsi dan beroperasi secara harmoni dalam menjaga keselamatan serta mempertahankan sempadan negara.
Melalui program seperti karnival itu katanya ia menjadi contoh tepat bagaimana satu acara boleh menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman masyarakat dan anggota tentera mengenai peranan keselamatan.
“Adalah penting agar anggota tentera tidak terpengaruh dengan situasi di luar kerana jika wujud perbezaan pandangan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan masyarakat.
“Jika situasi itu merebak ke dalam pasukan tentera ia akan mewujudkan halangan dan cabaran kepada tentera melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.
Dalam ucapanya terdahulu Khalid menegaskan bahawa tugas anggota tentera akan menjadi lebih sukar sekiranya politik tidak stabil dan pentadbiran lemah.
“Sebagai anggota pertahanan negara kita di sini merupakan kumpulan yang sangat penting kepada keselamatan negara. Kita tidak memandang ringan isu keselamatan.
“Kita bukan sahaja menjaga keselamatan negara tetapi mahu ekosistem di sekeliling kita turut menyumbang dan menjamin keselamatan.
“Jika persekitaran tidak menyokong keselamatan maka kitalah yang akan menanggung beban lebih besar untuk mempertahankan negara.
“Di sinilah kita perlu sedar betapa pentingnya ekosistem keselamatan di sekeliling kita. Ekosistem kehidupan menyumbang kepada keadaan keselamatan yang membolehkan kita melaksanakan peranan dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu mengenai perkara berasingan berkaitan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah Khalid menegaskan bahawa tidak wujud sebarang bentuk kerjasama atau kolaborasi antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata pertindihan kerusi antara kedua-dua gabungan itu tidak akan memberi kesan kepada BN.
“Kami tidak ada kerjasama dengan GRS. Kenapa pula kami perlu rasa rugi? Di mana kami bekerjasama dengan GRS? Kami parti politik, kami sudah bersedia. Soalan itu patut ditanya kepada GRS,” katanya.