Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan demi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) dapat dilaksanakan dengan berkesan serta menjamin kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab Ekonomi Biru di rantau Asean Timur, berkat kekayaan biodiversiti marin serta kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan serantau.
Advertisement

“Malah, dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu baharu pertumbuhan negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, peluasan pelancongan marin, penambahbaikan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu.
“Bagaimanapun, semua potensi ini hanya dapat direalisasikan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin. Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan marin dan industri makanan laut sukar berkembang,” katanya.
Berucap pada majlis penyampaian biskut Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Menara Kinabalu di sini pada Selasa, Ketua Menteri berkata Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer.
“Dalam konteks keselamatan negara, Sabah merupakan barisan hadapan Malaysia di Borneo dan Laut Sulu, sekali gus menjadikan negeri ini pintu masuk ekonomi maritim Malaysia di rantau ini.
“Khususnya di Sabah Timur, Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
“Kawasan ini diperkukuh melalui peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di sepanjang pantai timur Sabah, dan kewujudannya menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur.
“Dengan itu, pengukuhan keselamatan bukan sahaja penting bagi melindungi rakyat, malah membuka peluang pembangunan bandar sempadan sebagai pintu gerbang ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber marin,” katanya.
Ketua Menteri menegaskan bahawa selain keselamatan fizikal, kesejahteraan negeri juga bergantung kepada tahap keselamatan kesihatan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri menghargai peranan petugas kesihatan yang terus komited memerangi penyakit berjangkit, termasuk Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di Sabah.
“Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan yang dilaksanakan oleh petugas kesihatan amat penting bagi melindungi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” katanya.
Menurut beliau, barisan hadapan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan masyarakat.
“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan akan terus menilai tinggi pengorbanan pasukan keselamatan yang mencurahkan masa, semangat dan tenaga bagi memastikan sempadan negara kekal selamat.
“Oleh itu, biskut Hari Raya yang disampaikan hari ini adalah sebagai tanda ingatan dan penghargaan daripada kami,” katanya.