KOTA BELUD: Hajiji, buat kali pertama, mendedahkan bahawa beliau ada meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus hasil bersih Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Perdana Menteri telefon saya dan beritahu ‘InsyaAllah kita tidak buat rayuan 40 peratus’. Dia tidak rayu itu dan apa yang dirayu (Jabatan Peguam Negara) itu adalah ayat yang dirasa tidak adil dibuat oleh kerajaan dulu.
“Jadi, berilah mereka peluang untuk menyelesaikannya. Kelmarin (Isnin) sudah mula rundingan, jadi apa lagi. Kalau selesai rundingan ini nanti, pendapatan kita akan bertambah,” katanya.
Hajiji turut mendedahkan beliau tidak takut berunding dengan kerajaan persekutuan, malah paling banyak bersuara setiap kali Mesyuarat MA63 diadakan.
“Saya ada cara sendiri mentadbir, saya tidak takut berunding dengan kerajaan persekutuan, malah dalam Mesyuarat MA63, saya yang paling banyak bercakap.
“Perdana Menteri pun kata Hajiji nampak saja sentimental, tapi dalam mesyuarat banyak cakap. Tapi saya diam saja pasal perkara ini kerana itu cara saya,” katanya.
Dengan itu, Hajiji yakin rundingan pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan seperti diperintahkan dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober.
Perbincangan peringkat pegawai bermula Isnin lepas, diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) bagi pihak kerajaan negeri dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia mewakili kerajaan Persekutuan.
Perbincangan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu antara lain berkaitan mekanisme atau cara menyelesaikan pembayaran 40 peratus yang menjadi hak negeri ini.
“SKN sudah beritahu saya bahawa mereka sudah bermesyuarat dengan Persekutuan tentang mekanisme atau cara menyelesaikan 40 peratus itu, macam mana pembayaran dan lain-lain.
“Kita ada masa lagi. Mahkamah bagi kita tiga bulan (90 hari) untuk bincang baru diputuskan kerajaan Persekutuan dan negeri nanti,” katanya.
Hajiji berkata, penentuan mekanisme itu agak teknikal dan memerlukan beberapa perbincangan sebelum kerajaan negeri dan persekutuan mencapai persetujuan berhubung perkara itu.
“Mereka mungkin bincang berkali-kali baru dapat capai persetujuan,” katanya.
Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa belum ada jumlah hasil yang dituntut Sabah setakat ini dan kerajaan negeri menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk memaklumkan agihan hasil 40 peratus itu nanti.
“Kita pun tidak tahu berapa hasil dikutip dari Sabah secara jelas. Ini kita minta biar Kerajaan Persekutuan maklumkan agihan peruntukan, apa 40 peratus dan apa agihan tanggungjawab kerajaan persekutuan kepada Sabah,” katanya.