Tuaran: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tuaran memutuskan akan membantu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di empat kerusi iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Ketuanya Razeef Rakimin berkata keputusan itu diambil selepas Umno/Barisan Nasional (BN) Bahagian Sipitang yang enggan bekerjasama membantu calon PKR di kerusi Sindumin.
Katanya tindakan pihaknya itu juga membawa maksud PKR Cabang Tuaran hanya akan membantu calon-calon GRS di empat kerusi terbabit namun tidak kepada calon BN walaupun PH bekerjasama dengan BN pada PRN17 kali ini.
“Mengikut situasi semasa dan keputusan terkini Umno (Sipitang) yang tidak membantu calon PKR Sindumin maka Biro Politik Keadilan Cabang Tuaran memutuskan untuk membantu calon GRS bagi kerusi Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
“Keputusan ini diambil oleh Biro Politik PKR Cabang Tuaran dalam mesyuarat baru-baru ini termasuk pendirian untuk memutuskan hubungan (politik) serta- merta dengan Upko,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Umno Bahagian Sipitang dilaporkan memutuskan untuk tidak memberikan kerjasama kepada calon PKR atau PH yang bertanding di kerusi Sindumin pada PRN17.
Ketuanya Abd Rahman Mohd Noh berkata keputusan itu selaras dengan Perkara 20.11 dan 20.13 Perlembagaan Umno yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti.
Katanya Umno Sipitang kecewa selepas BN tidak diberikan ruang meletakan calon di kerusi itu dan sehubungan itu seluruh bilik gerakan BN di 17 pusat daerah mengundi di Dun Sindumin ditutup serta-merta.
Manakala jentera BN di kawasan itu juga katanya tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik sepanjang PRN17.
Katanya keputusan itu dibuat bagi memastikan perjuangan dan maruah Umno di kawasan Sipitang terus dipertahankan selaras dengan semangat solidariti parti.
PKR Sabah sebelum ini menamakan Datuk Yamani Hafez Musa yang merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman sebagai calon bagi kerusi Sindumin.
Yamani sebelum ini pernah memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU14 lalu yang kemudiannya menyertai Bersatu selepas itu dan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN16 tahun 2022 lalu.
Dalam pada itu Upko pada Isnin baru-baru ini juga mengumumkan keluar daripada PH berkuatkuasa serta-merta seterusnya menyatakan akan bertanding di 20 kerusi pada PRN17 menerusi agenda ‘Sabah First’.
Presidennya Datuk Ewon Benedick sebelum ini turut meletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan isu 40 peratus hasil Sabah.