Kota Kinabalu: Kerajaan Madani telah bersetuju, secara dasar untuk menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menjawab soalan Daily Express, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
(gambar) berkata langkah sedemikian bagaimanapun masih tidak memenuhi kuota satu pertiga seperti yang dihasratkan oleh pemimpin kedua-dua negeri.
“Tuntutan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan semula wakil satu pertiga di Parlimen, seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masih memerlukan penelitian terperinci kerana terdapat tafsiran berbeza – termasuk sama ada keanggotaan Singapura sebelum ini sebagai sebahagian daripada pembentukan Malaysia perlu diambil kira.
“Terdapat pelbagai tafsiran di mana ada pihak di Sabah dan Sarawak mengatakan ia sebahagian daripada MA63… yang kemudian turut melibatkan Singapura,” katanya kepada pengamal media Sabah semasa sesi sarapan pagi pada Ahad.
Isu kuota satu pertiga itu telah dirujuk kepada Peguam Besar Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara Malaysia untuk penelitian undang-undang sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Sebenarnya, kata Anwar, Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan dasar untuk menambah kerusi bagi Sabah dan Sarawak tertakluk kepada urusan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya telah memaklumkan dalam mesyuarat di Kuching, Sarawak ketika perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg bahawa sebagai dasar kita akan menambah kerusi – tetapi ia terpulang kepada SPR.”
Anwar berkata persempadanan semula itu bukan hanya melibatkan Sabah dan Sarawak kerana beberapa kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia kini mempunyai jumlah pengundi setinggi 380,000 bagi satu kerusi Parlimen, berbanding kawasan luar bandar yang luas dengan jumlah pengundi jauh lebih kecil.
Katanya, jurang ketara antara kawasan berpenduduk rendah dan tinggi memerlukan kajian semula bagi memastikan perwakilan yang lebih adil.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata bahawa perbincangan untuk memulihkan semula kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu diadakan secara bersemuka khususnya bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia yang kini memegang 75 peratus daripada 222 kerusi.