Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan menyimpan harta curi secara tidak jujur.
Daniel Patrick, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada jam 2.31 pagi, 1 November lalu di Kondominium University Utama, Telipok.
Advertisement

Daniel didakwa menyimpan 28 unit kepala paip meter air curi milik kondominium berkenaan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Januari tahun depan untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan.
Dalam kes berasingan empat individu didapati bersalah atas kesalahan berkaitan dadah.
Mereka ialah Liana Ana Yussof, Shahful Azman, Amir Hamzah dan Abdulhan Idris yang masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Liana dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas didapati memiliki 4.80 gram syabu pada 14 Jun lalu di Manggatal.
Sementara itu Shahful, Abdulhan dan Amir masing-masing didapati memiliki syabu seberat 0.04 gram dan 0.03 gram.
Shahful dijatuhi hukuman penjara lapan bulan manakala Amir dan Abdulhan masing-masing tujuh bulan.
Mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu Amir turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan atas kesalahan mengambil syabu mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh.