RANAU: Dua lelaki tempatan direman empat hari selepas ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel TM di daerah ini.
Kedua-dua suspek dari Keningau, berusia 44 dan 39 tahun, itu turut didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
Penahanan dibuat pada jam 11 pagi Selasa ketika sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau sedang menjalankan operasi penguatkuasaan di pekan Kundasang.
Semasa operasi dijalankan, sebuah Proton Gen2 berwarna perak ditahan berhampiran kedai Fresh Mart di pekan Kundasang.
Bagaimanapun, kenderaan itu memecut sebelum dikejar oleh polis menggunakan kenderaan pasukan jenis Outlander dan berjaya ditahan di persimpangan berhampiran Bulatan Picai, dekat pintu masuk Hotel Perkasa.
Dua lelaki di dalam kenderaan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kundasang untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan di bahagian bonet belakang kereta menemui pemotong kabel serta beberapa gulung kabel merah TM dan sebuah guni putih berisi gulungan dawai tembaga.
Selain itu, pemeriksaan terhadap beg galas yang dibawa salah seorang suspek turut menemui peralatan yang digunakan untuk mengambil dadah.
Sementara itu, talian Unifi dan internet fiber di seluruh daerah dilaporkan terputus sejak beberapa hari lalu, menyebabkan gangguan komunikasi dalam kalangan ribuan pengguna.