Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata 35 peratus adalah wajah baharu, manakala selebihnya gabungan pemimpin berpengalaman dan bakat muda.
“Saya yakin mereka mampu meraih kemenangan dalam pilihan raya kali ini,” katanya selepas mengumumkan 51 daripada calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Rabu.
Hajiji akan mempertahankan kerusi Sulaman yang disandangnya, manakala calon lain termasuk Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mempertahankan Kundasang; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pintasan); dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman (Bongawan).
Calon lain termasuk Datuk Mohamad Mohamarin (Banggi), Dr Samuil Mopun (Bengkoka), Datuk Seri Ruddy Awah (Pitas), Datuk Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), Datuk Julita Majungki (Matunggong), Datuk Redonah Bahanda (Bandau), Datuk Hendrus Anding (Tandek), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan), Mudezam Muyau (Kadamaian); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Arshad Idris (Karambunai), Datuk Mohd Razali Razi (Darau), Shah Alfie Yahya (Tanjung Keramat), Joeynwood Bansin (Moyog), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Pg Saifuddin Pg Tahir Petra (Pantai Manis); Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ruslan Muharam (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Victor Paut (Tambunan), Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan);
Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Abdul Ghani Yasin (Nabawan), Datuk Jonybone J. Kurum (Telupid), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Samad Jamri (Labuk), Hazem Mubarak Musa (Sungai Manila), Datuk Amirshah Yaakub (Sungai Sibuga), Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana (Sekong);
Datuk Masiung Banah (Kuamut), Johainizamshah Johari (Lamag), Juhari Janan (Sukau), Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan (Tungku), Datuk Mizma Apehdullah (Silam), Datuk Norazlinah Arif (Kunak); Datuk Marunda KK Ampong (Senallang), Noordin Abdul Hussin (Bugaya), Syed Ahmad Syed Abas (Balung), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) dan Dr Andi Md Shamsureezal (Tanjung Batu).
Empat lagi calon bagi kerusi Tamparuli, Bingkor, Tulid dan Kukusan akan diumumkan hari ini (Khamis).
“Saya berharap dengan pengumuman ini, semua penyokong dan parti komponen GRS akan bekerja keras memastikan kemenangan calon kita,” kata Hajiji sambil menyeru agar semua penyokong memperkukuh semangat perpaduan bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
“Satukan tekad dan semangat kita. Kita pilih GRS, kita undi GRS dan kita menang bersama GRS,” tegasnya.
Terdahulu, Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah kepimpinannya telah berusaha membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat Sabah.
“Saya, bersama rakyat dan kerajaan ini, telah berusaha sebaik mungkin untuk membawa perubahan. Walaupun tidak semua kejayaan dapat ditonjolkan, setiap langkah yang diambil dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut undang-undang,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun pentadbiran GRS, ekonomi negeri menunjukkan pemulihan kukuh, pelaburan meningkat dan banyak peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
Taman perindustrian seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (Sogip) kini tidak lagi mampu menampung permintaan tinggi.
“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk membangunkan tiga lagi taman perindustrian baharu di Beaufort-Kimanis, Kota Belud-Kota Marudu dan Kudat, dengan Kudat akan dibangunkan sebagai hab industri Ekonomi Biru untuk merangsang pertumbuhan di utara Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga telah menandatangani beberapa perjanjian penting dengan Petronas dan syarikat tempatan bagi membangunkan industri minyak dan gas, yang membawa manfaat besar kepada negeri.
Dalam sektor pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM1.02 bilion untuk tempoh lima tahun bagi pelbagai program biasiswa dan dana pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 480,000 anak Sabah melalui inisiatif pembangunan modal insan.
Kerajaan juga tidak mengabaikan kebajikan golongan miskin dan miskin tegar melalui Program Rumah Mesra SMJ, dengan 7,482 unit rumah diluluskan — 5,322 daripadanya siap dan diduduki.
Bantuan tunai bulanan sebanyak RM300 turut diberikan kepada 100,000 penerima.
Dalam sektor infrastruktur, jumlah Loji Rawatan Air (LRA) meningkat daripada 85 kepada 91, termasuk menaik taraf LRA Telibong II, LRA Beluran, LRA Kanibongan dan Skim Air Kasigui (UWSS) dengan kos keseluruhan RM1.2 bilion. Empangan Air Cinta Mata di Tawau bernilai RM300 juta dijangka siap pada 2026.
Hajiji yakin isu bekalan air dapat diselesaikan sepenuhnya tahun depan.
Dalam sektor tenaga, Sabah Electricity Sdn Bhd memperkenalkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi memenuhi keperluan tenaga di Pantai Timur. Majlis Tenaga Negeri meluluskan 11 projek penjanaan tenaga berkapasiti 1,219 megawatt, manakala Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM3.048 bilion dijangka menjana 187.5 megawatt menjelang 2029.
Kerajaan Sabah juga mempercepatkan pembangunan jalan raya melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang disambung semula, dengan empat daripada 39 pakej siap, manakala RM4.89 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan dan naik taraf jalan luar bandar di seluruh negeri.
Hajiji menegaskan usaha pemuliharaan alam sekitar diteruskan, dengan sasaran 30 peratus tanah negeri dijadikan Kawasan Perlindungan Penuh (TPA) dan 1.015 juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA), di samping pemeliharaan lebih 1,000 hektar kawasan hijau.
“Semua usaha ini bertujuan memastikan Sabah terus maju, berdaya tahan dan makmur,” katanya.
Beliau menambah bahawa semua calon GRS datang daripada keluarga besar gabungan itu, bersedia untuk berkhidmat dan berjuang demi rakyat.
“Dengan pengumuman ini, kita kukuhkan barisan kepimpinan, semarakkan semangat perjuangan dan pastikan kemenangan milik kita. Kita pilih GRS, kita undi GRS dan kita menang bersama GRS — insya-Allah, kita akan kembali memimpin kerajaan negeri,” katanya.