Kota Kinabalu: Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (Swepa) memberi penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew atas sokongan dan galakan berterusan beliau.
Pada majlis pelantikan Swepa ke-16 yang diadakan di Hotel Hilton, di sini, baru-baru ini, presiden terdahulu Karen Wong berkata beliau dan jawatankuasanya tidak akan berani menganjurkan Persidangan Wanita Antarabangsa (IWC) tahun lalu tanpa bantuan seorang individu istimewa yang memberikan keyakinan serta sokongan padu sejak awal lagi.
“Kami ingin merakamkan penghargaan dan rasa hormat kepada Datuk Seri Christina. Anda telah memberi sinar dan kebanggaan kepada kami serta mengangkat Swepa ke tahap pengiktirafan yang baharu.
“Sokongan kuat anda terhadap persatuan wanita kami bersama sentuhan peribadi anda telah memudahkan perjalanan kami,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Wong turut mengiktiraf sumbangan rakan kerjasama Swepa seperti Sabah Credit Corporation, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) dan tidak melupakan Taman-Taman Sabah, Biro Konvensyen Sabah, Qhazanah Sabah, Lembaga Pelabuhan Sabah, HRD Corp, Persekutuan Industri Sabah dan Hotel Hilton.
Menyeru semangat yang sama, presiden baharu dilantik, Betty Epin berkata sokongan padu Menteri itu selama ini telah menjadi inspirasi kepada Swepa untuk berbakti lebih banyak kepada komuniti dan negeri.
Mengenai perancangan Swepa di bawah kepimpinannya, beliau berkata persatuan itu bersedia memainkan peranan yang lebih bermakna dan dinamik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Dengan strategi pelancongan Sabah yang menekankan Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi (CAN), kami akan memperkukuh visi ini melalui inovasi yang diterajui wanita, kelestarian dan penglibatan komuniti,” tambah Epin.
Dalam ucapannya, Liew yang menjadi tetamu kehormat pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada Swepa atas kemenangan mereka dalam Anugerah Wanita Profesional & Kerjaya Global ke-14 (Top 50) 2024 di Kuala Lumpur, yang disifatkannya sebagai bukti sebenar hasil kerja keras, inovasi serta usaha dan semangat kolektif pemimpin dan ahli.
Anugerah terbabit diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan cemerlang Swepa dalam menganjurkan IWC 2024 di Sabah.
“Saya berbangga dengan organisasi tempatan yang tersohor ini, yang bukan sahaja mendapat liputan meluas di Sabah tetapi juga di Kuala Lumpur. Sebagai contoh teladan, anda telah menarik perhatian ramai pembaca.
“Swepa kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar persatuan usahawan dan profesional.
“Ia kini menjadi platform penting di mana wanita mengasah bakat, saling menyokong dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah secara langsung atau tidak langsung,” kata Liew.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Epin, Swepa akan terus memupuk inovasi, memperkukuh rangkaian,dan membina jambatan kerjasama.
“Saya yakin Presiden baharu mampu membawa persatuan ini ke tahap lebih tinggi, memperluas pengaruhnya di seluruh Sabah, Malaysia dan juga ke peringkat antarabangsa.
“Semoga perjalanan yang mendatang dipenuhi dengan semangat positif, pertumbuhan dan kejayaan,” katanya.
Barisan kepimpinan baharu Swepa untuk 2025-2027, terdiri daripada: Presiden Terdahulu Karen Wong, Presiden Betty Epin, Naib Presiden Suryani Mohd Saidi, Setiausaha Amelia Inbam Neelagandan, Penolong Setiausaha Datin Medlina Lubiren, Bendahari Jennifer Ho dan Penolong Bendahari Michelle Voo.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Lai Fui Nar, Dora Voon, Janet Delvo, Angeline Liew dan Glenda Hew manakala Nar Chin Keow selaku Penasihat Undang-Undang Dilantik.