TAMPARULI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori mereka yang membawa muatan minyak masak terbabas di Jalan Tamparuli - Ranau berhampiran pusat rekreasi Murug-Turug Eco Tourism (MTET) di sini, tengah hari, Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.02 tengah hari.
“Seramai lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang mangsa lelaki cedera, yang merupakan kelindan lori berusia 18 tahun, dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tiba,
“Pemandu lori berusia 30 tahun dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan dibawa naik menggunakan pengusung,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Mohammad Nor berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan, manakala mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Pasukan turut memeriksa lori dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada punca bahaya lain sebelum menamatkan operasi pada jam 2.10 petang,” katanya, menambah punca kejadian masih disiasat.