HASIL karya tempatan Sabah Jungle Adventures: Borneo’s Lost antara filem yang menerima pembiayaan di bawah kategori Dana Co-Pro Dokumentari 2025,
Filem arahan Zaili Sulan manakala skrip sentuhan Datuk James Sarda dan Noreini Rahman itu mengisahkan tentang filem “senyap” berusia lebih satu abad telah hilang selama lebih 105 tahun yang muncul semula untuk memperlihatkan rakaman bergerak terawal tentang masyarakat, hidupan liar dan budaya Borneo.
Antara filem yang turut tersenarai termasuklah Laungan Azan di Puncak Everest, Perhentian Terakhir – Antara Kerjaya dan Amanah, Natrah Antara Dua Dunia, Datuk Aziz Bakar – Nada dan Legasi serta Enchoes From The Forest.
Dalam pada itu Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selaku agensi pelaksana Dana Kandungan Kreatif (DKK) menyatakan 11 syarikat produksi tempatan yang berjaya menerima pembiayaan di bawah kategori Dana Co-Pro Dokumentari 2025 dengan jumlah keseluruhan RM2.95 juta.
Dana Co-Pro Dokumentari memberi tumpuan kepada penghasilan karya dokumentari berkualiti tinggi yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa melalui kerjasama strategik antara penerbit tempatan dan rakan produksi atau pelabur dalam serta luar negara.
Pembiayaan maksimum yang ditawarkan bagi setiap projek adalah sehingga RM300,000.
Bagi kategori Dana Co-Pro Dokumentari 2025 sebanyak 72 permohonan telah diterima sepanjang tempoh permohonan dari 17 Jun hingga 27 Julai 2025.
Semua permohonan tersebut melalui proses penilaian rapi menggunakan sistem SPPIK dan diteliti oleh Jawatankuasa Penilaian Kandungan Teknikal DKK serta Jawatankuasa Pelulus Dana Kreatif DKK.
Pelaksanaan Dana Co-Pro Dokumentari merupakan manifestasi usaha berterusan Finas dalam memperkukuh ekosistem kandungan kreatif nasional, memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab penerbitan dokumentari serantau yang berdaya saing di peringkat global.