Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Kenyataan itu dibuat susulan parti itu terus dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan Warisan — satu lagi parti tempatan yang turut mengumumkan akan bertanding secara solo. Presiden KDM Datuk Peter Anthony kini menjalani hukuman penjara kerana rasuah.
Setiausaha Agung KDM Willie Jude Junaidi berkata adalah tidak logik untuk parti itu dikaitkan dengan Warisan memandangkan kedua-duanya dijangka bertanding menentang antara satu sama lain di banyak kerusi.
Beliau berkata khabar angin yang mengaitkan KDM dengan Warisan berlarutan sejak sekian lama dan semakin rancak selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Mungkin lawan politik kami sudah kehabisan idea dan kini menggunakan ‘cybertrooper’ untuk menyebarkan dakwaan kononnya undi kepada KDM akan berpihak kepada Warisan.
“Tetapi itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Lumrahnya, mereka akan cuba mengambil kesempatan atas apa jua isu untuk melemahkan kami,” katanya.
“Saya tidak menafikan bahawa dakwaan seumpama ini menimbulkan kekeliruan, memandangkan ramai ketua bahagian bertanya kepada saya mengenainya. Sebab itu saya ingin jelaskan dengan tegas — kami fokus untuk menghadapi PRN17 dan akan bertanding secara solo,” katanya.