TAWAU: Debaran penduduk Tawau selama hampir tiga jam susulan siren amaran tsunami di Masjid Al Khautar Tawau dibunyikan sekitar jam 8.45 pagi pada Isnin, berakhir apabila nasihat tsunami ditamatkan jam 12 tengah hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran berjaga-jaga bermula 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, khususnya penduduk di kawasan pesisiran pantai empat daerah di Sabah.
Nasihat amaran tsunami itu kemudiannya ditamatkan selepas pihak berkuasa mengemas kini penilaian keadaan semasa.
Siren pengumuman penamatan nasihat tsunami itu dibunyikan di Masjid Al Khautar sekitar jam 12.20 tengah hari yang diulang sehingga lebih setengah jam.
Terdahulu, tinjauan Daily Express di sekitar bandar Tawau mendapati pasukan keselamatan giat menjalankan pemantauan, khususnya berhampiran kawasan pantai.
Banyak premis utama ditutup, termasuk Pasar Tanjung Tawau yang pada kebiasaan dibuka awal pagi sehingga 6.30 petang, restoran dan premis perniagaan lain serta sebuah stesen minyak di sebelah pasar itu turut ditutup.
Keadaan jalan raya menghala keluar dari bandar seperti Jalan Kuhara dan Jalan Apas turut sesak apabila kenderaan berpusu-pusu keluar meninggalkan kawasan bandar, dengan polis trafik menjalankan kawalan lalu lintas di lampu isyarat.
Begitu juga dengan kawasan sekolah yang sesak apabila ibu bapa dibenarkan mengambil anak masing-masing.
Manakala, aliran trafik di dalam kawasan pusat bandar (premis bangunan) lengang berbanding kebiasaannya pada waktu puncak, apabila ramai yang mula menutup premis dan pulang ke rumah.
Hasri Omar, 30, seorang kakitangan Balung Palm Oil Mill, Sungai Burong berkongsi detik mendebarkan apabila merasai gegaran ketika berada di pejabat.
“Saya lihat dokumen pejabat di atas meja bergegas. Saya ingatkan ada jentera berat seperti escavator lalu berhampiran pejabat tapi tiada.
“Menyedari kejadian gempa, saya segera menghubungi isteri di rumah untuk bertanya keadaan dan minta dia siapkan segala dokumen penting untuk dibawa sebagai persediaan awal sekiranya ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat berkaitan bencana, cuaca dan keselamatan awam.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai khabar angin, rakaman suara, mesej tular atau maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Penyebaran maklumat yang tidak tepat, tidak lengkap atau belum disahkan boleh menimbulkan kegusaran, panik serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mahu orang ramai mengamalkan budaya “Semak Sebelum Kongsi” dengan memastikan setiap maklumat disahkan terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada pihak lain.
Jasmin merakamkan penghargaan atas kerjasama dan sikap bertanggungjawab masyarakat dalam memastikan ketenteraman awam serta penyampaian maklumat yang tepat kepada orang ramai.