Kota Kinabalu: Penduduk di beberapa daerah di sepanjang pantai timur Sabah berdepan detik cemas susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 melanda selatan Filipina pada 7.37 pagi Isnin.
Menurut laporan, gempa bumi di luar pesisir Mindanao itu mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain, kebanyakannya akibat kerosakan bangunan, selain mencetuskan ombak tsunami setinggi satu meter di kawasan pantai berhampiran.
Gegaran gempa bumi tersebut, yang berlaku pada kedalaman 50 kilometer, turut dirasai penduduk di kawasan pesisir Tawau dan Semporna.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur.

“Gegaran dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata berdasarkan analisis MetMalaysia, ombak tsunami setinggi sehingga 0.4 meter dijangka melanda kawasan pesisir Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi hingga tengah hari.
Susulan amaran itu, orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut menasihatkan penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah terlibat telah diaktifkan bagi menguruskan situasi berkenaan.
“Adalah penting untuk orang ramai kekal tenang dan terus mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Hajiji berkata kerajaan negeri menerusi Pusat Kawalan Bencana Negeri memantau rapat perkembangan dan situasi semasa.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggerakkan pasukan pemantauan ke kawasan pesisir menerusi balai di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.
Anggota bomba menjalankan pemeriksaan di sepanjang kawasan pantai, penempatan penduduk dan lokasi berisiko bagi memastikan keselamatan awam serta memantau sebarang perubahan keadaan laut.
Hasil pemantauan mendapati tiada kerosakan struktur, kejadian luar biasa, kenaikan paras laut yang berbahaya atau sebarang situasi kecemasan di kawasan terlibat.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, keadaan di semua lokasi yang dipantau kekal selamat dan terkawal.
MetMalaysia kemudian mengumumkan bahawa amaran tsunami yang dikeluarkan pada 8.36 pagi ditamatkan secara rasmi pada tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.
Jabatan itu berkata penamatan amaran berkenaan merupakan kemas kini terakhir berhubung kejadian gempa bumi tersebut melainkan terdapat perkembangan baharu atau maklumat tambahan.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat cuaca serta gempa bumi yang sahih menerusi laman sesawang rasmi jabatan, aplikasi myCuaca, platform media sosial rasmi atau talian hotline 1300-22-1638.