TAWAU: Sebanyak 2,000 liter minyak diesel bernilai hampir RM10,000 yang disyaki cuba diseleweng dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam pemeriksaan terhadap sebuah lori tangki di tepi jalan Kampung Aman, Tanjung Batu, di sini, Jumaat lalu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau memaklumkan nilai keseluruhan rampasan termasuk lori tangki Nissan berkapasiti 10,000 liter itu dianggarkan hampir RM160,000.
Menurut KPDN, semua barang rampasan bersama laporan awal kes telah diserahkan oleh PPM Tawau kepada pihaknya pada hari sama untuk tindakan lanjut.
KPDN percaya bahan bakar kawalan itu cuba diseludup ke negara jiran dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Pemandu lori terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
KPDN Tawau akan terus memperkukuh penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah ini dan kawasan perairan sekitarnya.
Sehubungan itu, KPDN mengingatkan syarikat serta individu supaya sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Bagi individu yang didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh melayari portal e-aduan.gov.my atau menghubungi talian 089-776690.
Aduan juga boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000.