RANAU: Dua anggota sebuah pertubuhan rahsia dari Filipina dikenali sebagai Kappa Rho Kappa (KRK) ditahan dan direman selama empat hari kerana dipercayai mempromosikan organisasi itu di negeri ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Ranau susulan permohonan pegawai penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah.
Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua lagi anggota kumpulan yang berpangkalan di Zamboanga itu, manakala semakan menerusi Google mendapati pertubuhan tersebut mempunyai cawangan di Sabah.
Ilustrasi kumpulan itu yang dimuat naik di Facebook turut memaparkan seorang anggota yang hanya menampakkan bahagian mata sambil memegang senjata api jenis mesingan. Kad keahlian yang didakwa milik pertubuhan itu turut memaparkan lambang Kerajaan Persekutuan Malaysia bersama nombor pendaftaran yang mendakwa kumpulan itu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Mengikut dokumen siasatan, kes itu bermula daripada laporan polis yang dibuat pada 5 Jun selepas seorang pengadu menemui video di platform TikTok yang memaparkan dua individu dipercayai mempromosikan pertubuhan rahsia berkenaan kepada penduduk tempatan.
Susulan laporan itu, sepasukan polis yang menjalankan operasi antigengster melancarkan siasatan sebelum menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di Kampung Kinasaraban Pitas, Kundasang, pada 10.50 pagi, 5 Jun lalu.
Dalam operasi itu, polis merampas dua telefon bimbit yang dipercayai milik suspek. Siasatan awal mendapati terdapat beberapa rakaman video yang dikaitkan dengan kegiatan mempromosikan pertubuhan tersebut.
Polis turut mendapati terdapat tiga kesan lecur pada bahagian atas pergelangan tangan kanan setiap suspek, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan sedang dijalankan. Kesan berkenaan direkodkan sebagai sebahagian daripada proses siasatan dan akan dijadikan antara bahan bukti yang diteliti pihak berkuasa.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan dalam tahanan polis.
Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan penyertaan dan promosi pertubuhan yang menyalahi undang-undang. Polis turut menjalankan siasatan tambahan termasuk merakam keterangan saksi, mendapatkan cap jari serta gambar suspek, menganalisis kandungan telefon bimbit yang dirampas dan mengumpul risikan berkaitan aktiviti kumpulan berkenaan.
Pihak berkuasa turut meneliti sama ada suspek memainkan peranan merekrut anggota baharu atau mempromosikan pertubuhan tersebut menerusi platform dalam talian.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai atau mempromosikan mana-mana pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.