RANAU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500,000 di bawah Program Kampung Angkat Madani (Kam) 2026 bagi Kampung Dumpiring, Kundasang sebagai usaha memperkukuh daya tahan komuniti, meningkatkan kesiapsiagaan bencana serta mempertingkat kesejahteraan penduduk luar bandar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan sampai kepada masyarakat akar umbi serta memenuhi keperluan sebenar penduduk.
“Program Kampung Angkat Madani berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan dan komuniti setempat selain memastikan pembangunan dilaksanakan secara lebih inklusif dan berfokuskan rakyat.
“Kerajaan bukan sahaja melihat pembangunan daripada sudut projek fizikal tetapi turut memberi keutamaan kepada keperluan sebenar komuniti di lapangan,” katanya.
Majlis pelancaran program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Dalam pada itu beliau menyatakan sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap sumber asli dan kelestarian alam sekitar, program itu selari dengan peranan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menjaga sumber semula jadi serta menangani pengurusan alam sekitar, risiko geologi, sumber air bawah tanah, kestabilan cerun dan mitigasi bencana.
Arthur menjelaskan bahawa Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi pelancongan utama Sabah namun pada masa sama terdedah kepada risiko geologi seperti tanah runtuh, kegagalan cerun dan pergerakan tanah.
Justeru katanya perancangan pembangunan perlu berasaskan data saintifik, pemantauan berterusan dan pengurusan risiko yang proaktif.
Menurut Arthur pelbagai inisiatif telah dilaksanakan melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 termasuk pemetaan bahaya, penilaian risiko cerun, sistem amaran awal serta program pemerkasaan komuniti bagi meningkatkan keselamatan di Kundasang dan Ranau.
“Usaha itu akan diperkukuh lagi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 melalui kesinambungan projek sistem amaran awal, pemantauan pergerakan sesar serta peluasan program berasaskan komuniti seperti Kampung Angkat Madani,” ujarnya.
Arthur memaklumkan peruntukan RM500,000 untuk Kampung Dumpiring bukan sekadar geran pembangunan, sebaliknya merupakan komitmen kerajaan untuk berhubung terus dengan rakyat, mengenal pasti keperluan setempat dan melaksanakan intervensi yang memberi manfaat nyata.
Beliau berharap Kampung Dumpiring dapat muncul sebagai komuniti contoh yang lebih selamat, mampan, berdaya tahan dan mempunyai hubungan lebih baik dengan agensi kerajaan.
Arthur turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, pemimpin masyarakat serta penduduk dalam menjayakan program pembangunan.
Beliau berkata kerjasama itu penting bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya geologi, memperkukuh kesiapsiagaan bencana serta menambah baik infrastruktur mengikut keperluan komuniti.
Beliau turut menyifatkan inisiatif itu sebagai cerminan semangat Malaysia Madani apabila pembangunan bukan hanya diukur melalui nilai peruntukan tetapi juga kesan positif kepada kehidupan rakyat.
Dalam majlis sama Arthur turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, pemimpin komuniti serta penduduk Kampung Dumpiring atas sokongan dan kerjasama menjayakan program berkenaan.
Beliau turut menggesa penduduk agar menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan, sambil menegaskan kejayaan jangka panjang sesuatu pembangunan bergantung kepada penglibatan aktif komuniti.
“Saya yakin Kampung Dumpiring berpotensi menjadi kampung contoh yang bukan sahaja indah dari segi alam semula jadi tetapi juga teratur, selamat, berdaya tahan dan mampan,” katanya.