Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan Datuk Junz Wong
(gambar) memberi amaran bahawa tindakan yang hanya tertumpu kepada pelanggaran visa tidak akan mampu menyelesaikan masalah sistemik yang telah membolehkan pengusaha asing menguasai sektor-sektor penting sehingga menjejaskan peluang rakyat Sabah.
Beliau menyifatkan keadaan semasa sebagai satu bentuk penyelewengan besar dan tidak adil apabila pelbagai syarat undang-undang sering diketepikan dengan bantuan individu tempatan.
“Ini jauh lebih besar daripada sekadar penyalahgunaan visa. Ia melibatkan entiti asing yang mengambil alih ekonomi kita melalui urusan meragukan dan perkara ini telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa tindakan bermakna,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru itu berkata antara amalan yang paling merugikan ialah warga asing menjalankan perniagaan menggunakan proksi tempatan, menyewakan lesen perniagaan untuk keuntungan, mengemukakan dokumen palsu serta mengeksploitasi kelompongan undang-undang bagi beroperasi tanpa kelulusan sewajarnya.
Menurutnya, taktik sedemikian membolehkan mereka menawarkan harga lebih rendah berbanding peniaga tempatan, terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang sebelum ini bergantung kepada kedai runcit dan perusahaan kecil sebagai tunjang ekonomi komuniti.
“Perkara ini sudah lama berlaku. Pemimpin masyarakat, pemilik perniagaan dan wakil rakyat berulang kali membangkitkan bagaimana pengusaha asing berjaya menguasai segmen peruncitan tertentu sehingga menyebabkan usahawan tempatan bergelut untuk terus bertahan.
“Isu ini baru-baru ini turut diketengahkan oleh Adun Usukan Isnaraissah Munirah Majilis yang mendedahkan bagaimana perniagaan dikendalikan warga asing sering berselindung di sebalik nama dan lesen tempatan bagi kelihatan sah, sedangkan pemilik sebenar kekal tersembunyi dan rakyat tempatan terpinggir daripada peluang ekonomi di negeri sendiri,” katanya.
Junz turut merujuk kepada kemarahan orang ramai terhadap tindakan warga asing yang secara terbuka mengiklankan perkhidmatan kemahiran seperti pengubahsuaian rumah dan kerja paip di media sosial dipercayai tanpa permit atau kelayakan yang diperlukan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu menyasarkan aktiviti haram dan bukannya mana-mana kewarganegaraan tertentu.
“Tidak kira mereka berasal dari China, Pakistan atau mana-mana negara lain. Sabah sentiasa mengalu-alukan pelawat, pelabur dan peniaga yang mematuhi undang-undang. Namun, kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menggunakan kelompongan imigresen, lesen palsu atau proksi tempatan untuk menipu sistem dan merampas peluang rakyat kita,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan tidak boleh dilakukan secara berat sebelah. Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan bukan sahaja terhadap pengusaha asing tetapi juga individu tempatan yang bersekongkol dalam kegiatan berkenaan.
“Tanpa rakyat tempatan yang sanggup menyewakan lesen, menjadi proksi atau memudahkan operasi haram ini, kebanyakan kegiatan tersebut akan lumpuh dalam sekelip mata. Mereka juga sama bersalah dan perlu berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya,” tegasnya.
Mengalu-alukan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara, Junz berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa di Sabah melancarkan operasi menyeluruh melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan, pejabat percukaian dan pengawal selia kewangan bagi membanteras segala bentuk eksploitasi ekonomi.
“Ini peluang kita untuk mewujudkan persaingan yang lebih adil. Ia bukan sekadar soal persaingan perniagaan tetapi memastikan rakyat Sabah mendapat bahagian yang sewajarnya dalam membangunkan serta menikmati hasil ekonomi negeri sendiri,” katanya.