Kota Kinabalu: Sabah kehilangan kawalan terhadap industri sawitnya yang bernilai tinggi apabila dianggarkan 90 peratus ladang kelapa sawit di negeri itu kini dimiliki syarikat dari luar Sabah, kata bekas pegawai bank dan penasihat Kerajaan Negeri Datuk John Lo.
Menyifatkan keadaan itu sebagai satu “kerugian besar” kepada Sabah, Lo berkata peruntukan tanah berskala besar untuk penanaman kelapa sawit pada asalnya bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat negeri ini.
Advertisement
.gif)
Beliau mendakwa ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh, kira-kira 963,000 ekar tanah diperuntukkan dengan hasrat setiap rakyat Sabah yang tidak memiliki tanah menerima 15 ekar.
“Selepas beliau meninggalkan jawatan, semua tanah ini dijual kepada syarikat dari Semenanjung Malaysia.
“Seperti yang telah saya tulis berkali-kali, ini adalah anggaran saya dan saya percaya tidak jauh tersasar, 90 peratus industri sawit kita kini berada di tangan bukan rakyat Sabah,” katanya dalam podcast “Sabah Matters” terbitan Daily Express.
Lo berkata kesan keadaan itu bukan sahaja melibatkan pemilikan tanah, malah menjejaskan keupayaan Sabah memaksimumkan pulangan ekonomi daripada salah satu industri terpenting negeri.
Beliau berkata walaupun Sabah merupakan negeri pengeluar utama minyak sawit mentah (CPO) negara dengan kadar perahan minyak (OER) tertinggi dan menghasilkan kira-kira 5.5 juta tan metrik CPO setahun, sebahagian besar komoditi itu dihantar keluar untuk diproses di peringkat hiliran.
“Kebanyakan CPO ini tidak diproses di peringkat hiliran di Sabah, sebaliknya dibawa keluar.
“Apa maknanya? Ia bermakna kita tidak mempunyai pelaburan hiliran, aktiviti hiliran, peluang pekerjaan hiliran dan nilai tambah,” katanya.
Menurut Lo, Sabah pada masa ini lebih berperanan sebagai pengeluar komoditi, manakala aktiviti pembuatan dan pemprosesan bernilai tinggi berlaku di tempat lain.
“Negeri lain menikmati manfaat daripada CPO kita melalui pendapatan nilai tambah dan peluang pekerjaan di sektor hiliran,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan Sabah kehilangan peluang menarik pelaburan baharu berasaskan industri sawit.
Lo berkata permintaan terhadap bahan api hijau dan bahan api penerbangan mampan yang berasaskan minyak sawit semakin meningkat, namun pelabur memerlukan bekalan bahan mentah yang mencukupi di negeri ini sebelum membuat pelaburan.
“Terdapat banyak syarikat dari China yang mempunyai teknologi diperlukan dan berminat untuk melabur, tetapi kita tidak mempunyai bekalan CPO yang mencukupi di Sabah,” katanya.
Beliau turut mengkritik kadar cukai tanah di Sabah yang disifatkannya antara paling rendah di negara ini.
“Secara purata, kita bercakap mengenai RM6 seekar. Negeri lain mengenakan RM20 hingga RM30 seekar, manakala Pahang antara yang tertinggi dengan kira-kira RM200 seekar,” katanya.
Lo turut mendakwa banyak syarikat perladangan merekodkan keuntungan mereka di ibu pejabat yang terletak di Kuala Lumpur dan bukannya di Sabah, sekali gus menyukarkan penilaian sebenar terhadap nilai ekonomi yang dijana daripada sumber negeri.
“Semua angka direkodkan di Kuala Lumpur kerana ibu pejabat mereka berada di sana. Di Sabah mereka hanya mempunyai pejabat cawangan kecil,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu turut memberi implikasi kepada tuntutan Sabah terhadap hak 40 peratus hasil bersih seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana hasil yang dijana daripada sumber negeri mungkin tidak direkodkan sepenuhnya di Sabah.
Lo berkata Sabah kini mempunyai kira-kira 1.74 juta hektar atau lebih 4.4 juta ekar ladang kelapa sawit, dengan sebahagian besarnya dimiliki entiti luar Sabah.
“Tanah terbaik yang kita miliki ialah untuk kelapa sawit, jadi ini merupakan satu kerugian besar kepada Sabah. Perkara ini perlu diteliti supaya kita memperoleh bahagian yang sewajarnya daripada industri ini,” katanya.