Mon, 8 Jun 2026
Headlines:
Kajian dedah cabaran utama terhadap kesejahteraan kanak-kanak di Sabah
Published on: Saturday, June 06, 2026
Published on: Sat, Jun 06, 2026
By: Sisca Humphrey
Text Size:
Text:
Kajian dedah cabaran utama terhadap kesejahteraan kanak-kanak di Sabah
Robert Gass.
Kota Kinabalu: Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sabah (SCWI) yang dilancarkan baru-baru ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kehidupan, pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak di negeri ini, selain mengenal pasti beberapa cabaran utama yang masih perlu ditangani.

Dibangunkan menerusi kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Sabah, indeks itu menilai kesejahteraan kanak-kanak berdasarkan enam domain utama iaitu kesihatan, pemakanan, pembelajaran, permainan dan rehat, penyertaan serta persekitaran yang selamat dan kondusif.

Advertisement
Dapatan kajian itu dijangka menjadi panduan kepada pembuat dasar dalam merancang pelaburan dan program yang lebih berkesan bagi meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di seluruh Sabah.

SCWI menggunakan pendekatan penyertaan melibatkan kanak-kanak, penjaga, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil menerusi perbincangan kumpulan fokus bagi memahami maksud kesejahteraan dalam konteks Sabah.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Proses itu membawa kepada pengenalpastian enam domain kesejahteraan dan 37 indikator yang mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak di negeri ini.

Wakil Unicef di Malaysia, Robert Gass berkata kajian berkenaan memberi gambaran lebih jelas mengenai pelbagai faktor yang mempengaruhi kehidupan harian dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak.

Advertisement
“Kajian ini menggambarkan bagaimana kanak-kanak di Sabah menjalani kehidupan harian mereka merentasi pelbagai aspek kesejahteraan.

“Dengan membantu kita memahami pengalaman yang saling berkait ini, indeks ini dapat menyokong tindak balas lebih inklusif, khususnya bagi mereka paling berisiko tercicir,” katanya.

Advertisement
Dapatan SCWI menunjukkan tahap pencapaian yang berbeza bagi setiap domain kesejahteraan.

Antara enam domain diukur, prestasi terbaik dicatatkan dalam domain berkaitan hubungan sosial dan penyertaan, dengan 61.6 peratus kanak-kanak memenuhi indikator di bawah domain “Adakah saya mempunyai hubungan dan suara?”, diikuti domain kesihatan dengan 55.9 peratus memenuhi indikator berkaitan akses kepada sokongan dan perkhidmatan kesihatan asas.

Bagaimanapun, beberapa cabaran ketara dikenal pasti, khususnya dalam aspek keselamatan dan persekitaran hidup.

Hanya 6.1 peratus kanak-kanak memenuhi indikator di bawah domain “Adakah saya tinggal dalam persekitaran yang selamat dan harmoni?”, sekali gus mencerminkan kebimbangan terhadap aspek perlindungan, keselamatan dan keadaan tempat tinggal.

Kajian itu turut mendapati hanya 30.6 peratus kanak-kanak memenuhi indikator berkaitan pertumbuhan dan perkembangan, manakala 27.2 peratus memenuhi indikator peluang pembelajaran.

Bagi aspek permainan dan rehat, hanya 32.6 peratus kanak-kanak memenuhi indikator ditetapkan, menunjukkan keperluan meningkatkan peluang rekreasi dan pembangunan yang seimbang.

Kajian itu turut mengenal pasti beberapa cabaran utama termasuk akses kepada makanan berkhasiat, capaian internet yang boleh dipercayai, sokongan kesihatan remaja dan persekitaran yang selamat.

Hampir seorang daripada empat kanak-kanak didapati belum menerima imunisasi lengkap, manakala kurang satu pertiga remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun memenuhi penanda aras kesihatan seksual dan reproduktif termasuk akses kepada maklumat, perkhidmatan dan sokongan yang dipercayai.

Dalam aspek pemakanan dan perkembangan, kurang satu pertiga kanak-kanak mencapai tahap pertumbuhan dan perkembangan yang ditetapkan, dengan ramai mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kuantiti yang terhad.

Akses digital juga masih menjadi cabaran apabila kurang daripada 35 peratus kanak-kanak mempunyai akses mencukupi kepada peranti digital dan internet yang stabil, sekali gus berpotensi menjejaskan peluang pembelajaran dan penyertaan dalam talian.

Indeks itu turut merakam pandangan kanak-kanak sendiri, dengan sebahagian mereka melaporkan peluang permainan inklusif yang terhad, kesukaran menyuarakan pendapat secara bebas serta tinggal dalam persekitaran yang tidak memenuhi standard perumahan yang mencukupi.

Gass berkata dapatan itu mencerminkan realiti harian yang dihadapi kanak-kanak di Sabah.

“Di sebalik setiap data, terdapat seorang kanak-kanak yang sedang membesar di Sabah, yang mungkin mendapat sokongan keluarga dan komuniti, tetapi pada masa sama berdepan cabaran mendapatkan makanan berkhasiat, akses internet yang baik, rasa selamat dan peluang untuk didengari.

“Dapatan ini mengingatkan kita bahawa setiap bentuk sokongan perlu dibentuk berdasarkan realiti kehidupan mereka, terutama golongan yang berdepan halangan paling besar,” katanya.

Laporan itu turut menunjukkan wujud perbezaan ketara antara daerah, dengan beberapa kawasan mencatatkan tahap kekurangan yang lebih tinggi.

Kawasan pedalaman dan sukar diakses seperti Kudat berdepan cabaran lebih besar dari segi akses digital dan pemakanan berkhasiat, manakala Tawau mencatat jurang yang lebih ketara dalam liputan imunisasi.

Kanak-kanak kurang upaya serta kanak-kanak tanpa dokumen dan tanpa kerakyatan dikenal pasti sebagai antara kumpulan yang menghadapi jurang kesejahteraan paling besar berikutan kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan penting seperti kesihatan dan pendidikan.

Kajian itu melibatkan 4,441 kanak-kanak dan penjaga dari lima bahagian pentadbiran Sabah, termasuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

SCWI dijangka berfungsi sebagai alat berasaskan bukti untuk membantu perancangan dan proses membuat keputusan, sekali gus memastikan sistem sokongan yang lebih kukuh dan inklusif dapat dinikmati setiap kanak-kanak di Sabah tanpa mengira latar belakang, status perundangan atau lokasi mereka.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here