SOOK: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa masyarakat khususnya golongan muda merebut peluang menjadi ejen perubahan dengan menjadikan aktiviti penanaman pokok sebagai amalan berterusan dan gaya hidup demi masa depan lestari.
Beliau berkata Sabah bertuah kerana menjadi antara wilayah yang mempunyai litupan hutan tertinggi di Malaysia dan semua pihak perlu terus memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar demi kelangsungan masa depan.
“Ini menunjukkan hutan juga penting sebagai sumber ekonomi kepada masyarakat luar bandar dan saya berharap generasi muda dapat menghargai hutan yang ada hari ini demi kelestarian masa depan,” katanya kepada pemberita pada program penanaman pokok sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) Peringkat Kebangsaan di Hutan Simpan Tasik Sook baru-baru ini.
Lebih 1,000 pokok pelbagai spesies ditanam secara simbolik dalam usaha memperkukuh ekosistem, menstabilkan iklim serta mengekalkan kelestarian ekonomi negara.
Program selama tiga hari yang berakhir Ahad lalu itu dilaksanakan dengan kerjasama pemimpin tempatan, rakan korporat serta pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sook dan SMK TrusMadi.
Arthur berkata Hutan Simpan Tasik Sook di kawasan Pensiangan dipilih sebagai lokasi program penanaman pokok Zon Pedalaman sempena sambutan tahun ini.
Ahli Parlimen Pensiangan itu menyatakan sambutan tahun ini bertemakan “Hutan dan Ekonomi” bertujuan mengetengahkan sumber hijau sebagai alternatif sumber ekonomi bernilai kepada masyarakat khususnya di luar bandar sama ada melalui ekopelancongan, produk hutan lestari atau pertanian mampan.
“Aktiviti penanaman pokok juga dapat menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar dan selari dengan tema sambutan IDF iaitu ‘Hutan dan Ekonomi’ yang menunjukkan bahawa hutan merupakan sumber ekonomi yang baik kepada masyarakat, khususnya di luar bandar.
“Kita boleh menjana peluang ekonomi melalui sektor ekopelancongan, produk kayu dan sektor pertanian,” katanya.
Beliau berharap program seperti ini dapat terus meningkatkan kesedaran dan promosi supaya pelajar serta masyarakat setempat lebih menghargai hutan yang ada pada hari ini.
Terdahulu Ketua Konservator Hutan Datuk Zulkifli Suara ketika berucap pada program itu berkata masyarakat khususnya generasi muda perlu mengambil peluang untuk bersama-sama menjadikan aktiviti penanaman pokok sebagai amalan dan gaya hidup berterusan demi masa depan yang sejahtera dan lestari.
Katanya usaha sedemikian bukan sahaja mampu memperkukuh ekosistem malah membantu menstabilkan iklim, mengurangkan kesan perubahan cuaca serta memastikan kesejahteraan ekonomi negara.