Kota Kinabalu: Persoalan dibangkitkan sama ada keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memastikan ia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diketepikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Bekas pegawai Imigresen, Jaesman Gipin berkata operasi keselamatan negara mesti selaras dengan autonomi perlembagaan Sabah di bawah MA63.
Beliau mengulas rampasan 14 kontena ayam sejuk beku di Pelabuhan Sepanggar oleh AKPS yang dilaporkan diisytiharkan sebagai “kentang” dan “kacang pea”.
Walaupun mengakui tindakan rampasan itu mendapat sokongan umum, Jaesman berkata cara operasi dijalankan menimbulkan persoalan serius mengenai penyelarasan antara agensi dan penghormatan terhadap kuasa negeri.
“Perlu ada dialog konstruktif untuk menyelesaikan perkara ini selepas AKPS menjalankan operasi tanpa berunding dengan Kerajaan Sabah, yang secara rasmi menggantung dasar dan aktiviti agensi Persekutuan itu di negeri ini, seperti diumumkan Ketua Menteri dalam kenyataan pada 15 Mei lalu.
“Penggantungan itu dibuat selepas perbincangan menyeluruh dengan badan penguat kuasa sedia ada di Sabah. Justeru, tindakan AKPS menjalankan operasi tanpa rundingan menimbulkan persoalan mengenai penyelarasan antara agensi dan penghormatan terhadap keputusan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata Sabah sudah mempunyai agensi berkeupayaan untuk mengendalikan penyeludupan dan kawalan sempadan, selain menegaskan AKPS sepatutnya mengadakan dialog terlebih dahulu sebelum meneruskan operasi.
“Bagi memelihara kerjasama pentadbiran dan prinsip perkongsian kuasa dalam Malaysia, AKPS perlu mengadakan dialog serta menghormati pendirian Kerajaan Sabah sebelum melaksanakan sebarang operasi,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan daripada Warisan, Chin Tek Ming pula berkata Kerajaan Negeri perlu menjelaskan sama ada pengumuman penggantungan AKPS mempunyai kuasa perundangan susulan rampasan berkenaan.
Beliau mempersoalkan sama ada penggantungan itu dimuktamadkan menerusi komunikasi rasmi kepada Kerajaan Persekutuan, sama ada keputusan Kabinet, pewartaan atau moratorium pentadbiran telah dikeluarkan, atau sekadar kenyataan politik tanpa kesan perundangan dan pentadbiran yang substantif.
Chin berkata beliau tidak membantah tindakan penguatkuasaan AKPS, sebaliknya mempersoalkan implikasi perlembagaan dan bidang kuasa lebih luas berkaitan kehadiran agensi itu di Sabah.
Katanya, kedudukan khas Sabah berkaitan imigresen dan kawalan kemasukan dilindungi di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan serta menjadi sebahagian daripada jaminan pembentukan Malaysia menerusi MA63.
“Hak itu bukan konsesi politik. Ia adalah hak perlembagaan yang mengikat,” katanya.
“Saya tidak pernah mempertikaikan keperluan penguatkuasaan terhadap penyeludupan, pengisytiharan kastam palsu, barangan haram atau ancaman keselamatan sempadan. Sebarang tindakan penguatkuasaan yang sah terhadap jenayah rentas sempadan sememangnya wajar dipuji,” katanya.
Namun, katanya, fungsi penguatkuasaan dilaksanakan AKPS sebenarnya sudah dijalankan pelbagai agensi sedia ada termasuk Kastam, Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, MAQIS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta badan Persekutuan lain, malah beberapa daripadanya turut terlibat dalam operasi di Pelabuhan Sepanggar bersama AKPS.
“Apakah justifikasi dari segi perundangan, kewangan dan institusi untuk menubuhkan satu lagi agensi Persekutuan bagi melaksanakan fungsi yang sudah dilakukan badan sedia ada?” katanya, mempersoalkan sama ada AKPS diwujudkan benar-benar untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, atau sekadar menambah lapisan penyelarasan dan pengawasan Persekutuan terhadap struktur penguatkuasaan sempadan Sabah.
Beliau berkata hak Sabah boleh terhakis bukan sahaja menerusi pindaan undang-undang secara langsung, tetapi juga melalui pemusatan pentadbiran dan institusi yang berlaku secara berperingkat namun memberi kesan besar.
Katanya, kedudukan khas Sabah berkaitan imigresen dan kawalan kemasukan dilindungi di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan serta menjadi sebahagian daripada jaminan pembentukan Malaysia menerusi MA63.
“Hak itu bukan konsesi politik. Ia adalah hak perlembagaan yang mengikat,” katanya.