Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina didakwa di Mahkamah Imigresen atas pertuduhan memiliki permit masuk palsu.
Jimhar Joseph mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Herman Hussain terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Jimhar didakwa memiliki dokumen palsu itu pada jam 12.10 tengah hari, 11 Mei lalu di luar pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Jalan Sulaman.
Kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen itu boleh dihukum mengikut Seksyen 56(1)(aa) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Jimhar diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.
Jimhar turut diperintahkan melapor diri di pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen di sini atau di Tawau setiap dua minggu.
Pegawai pendakwa Jabatan Imigresen Baxter Junior Goh mengendalikan pendakwaan manakala Jimhar yang memegang dokumen IMM13 diwakili peguam Datuk Ram Singh.
Dalam mahkamah sama seorang lelaki warga Pakistan berusia 35 tahun didenda keseluruhan RM4,500 kerana masuk ke negeri ini secara tidak sah dan melanggar syarat pas khas miliknya.
Fawad Ali mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Bagi pertuduhan pertama Fawad didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana memasuki Sabah tanpa dokumen sah.
Dia ditahan pada jam 6.30 petang, 3 Mei lalu di Kaunter Pemeriksaan Imigresen 4, Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Bagi pertuduhan kedua, Fawad didenda RM500 atau penjara tiga bulan kerana melanggar syarat dokumennya yang hanya membenarkannya berada di Semenanjung Malaysia namun dia didapati berada di Sabah.
Dia ditahan di lokasi dan waktu yang sama.
Selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara Fawad diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.