Kota Kinabalu: Dua individu didenda RM1,200 setiap seorang atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti perjudian.
Mohd Hussien Rashid, 29, dan Nor Afiqah Ali, 33, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Hussien mengaku melakukan perjudian di tempat awam di sebuah premis di Beverly Hills, Penampang, kira-kira jam 4 petang pada 13 Mei lalu.
Mahkamah diberitahu bahawa sepasukan polis menjalankan serbuan “Op Dadu” di premis berkenaan dan mendapati tertuduh terbabit dalam aktiviti tambah nilai perjudian dalam talian tanpa lesen.
Antara barang yang dirampas daripada tertuduh ialah sebuah telefon bimbit Redmi A5, sekeping kertas mengandungi ID dan kata laluan, sebuah pencetak mudah alih berwarna hitam serta wang tunai RM50 dalam pelbagai denominasi.
Sementara itu Nor mengaku melakukan perjudian di tempat awam di sebuah kedai di Donggongon Fasa 2, Penampang, kira-kira jam 1.45 petang pada 19 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Khan memberitahu mahkamah bahawa operasi serupa dijalankan di premis berkenaan dan siasatan mendapati tertuduh turut terbabit dalam aktiviti tambah nilai perjudian dalam talian tanpa lesen.
Antara barang yang dirampas daripadanya ialah sebuah telefon bimbit Tecno Go, sekeping kertas mengandungi ID dan kata laluan, sebuah pencetak mudah alih hitam serta wang tunai RM35 dalam pelbagai denominasi.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai yang dirampas dalam kedua-dua kes dilucut hak kepada kerajaan.
Dalam kes berasingan seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul seorang wanita.
Abd Zaidi Abdul Rahman, 41, mengaku tidak bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan mencium belakang leher dan menyentuh punggung mangsa di sebuah apartmen di Telipok kira-kira jam 4.40 petang pada 20 Mei lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk pengurusan kes prabicara dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan dua penjamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie AK Anthony manakala tertuduh diwakili peguam Jagnesh Jaya.