BEAUFORT: Polis menahan dua lelaki tempatan dalam dua operasi berasingan berkaitan dadah di daerah ini dengan seorang daripada mereka didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh berkata tangkapan pertama dilakukan oleh pasukan Balai Polis Membakut di sebuah rumah di Kampung Binsulok, Membakut.
Suspek berusia 43 tahun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sebelum ujian air kencing mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah terbabit. Katanya suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Susulan penahanan itu polis meneruskan operasi bagi mengesan pengedar dadah yang dipercayai aktif di kawasan Kuala Penyu dan Menumbok berdasarkan maklumat diperoleh daripada suspek.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di tepi jalan di Pekan Lama Beaufort kerana disyaki memiliki syabu.
Hasil pemeriksaan menemukan satu paket mengandungi kira-kira 0.16 gram dadah berkenaan dalam simpanannya.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis berkata usaha penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.