TAWAU: Krisis bekalan air yang terus “menghantui” penduduk Pulau Sebatik dan Gugusan Felda Umas memerlukan penyelesaian struktural bukannya retorik “sedang dalam tindakan” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Manahing Tinggilani @ Tanggilani.
Beliau berkata mengambil maklum kenyataan kerajaan bahawa pelan jangka panjang sedang dirancang termasuk cadangan memperdalam kolam takungan air di Wallace Bay bagi meningkatkan kapasiti simpanan bekalan air di kawasan terbabit.
Namun katanya persoalan utama rakyat ketika ini bukan lagi sekadar pelan di atas kertas tetapi sejauh mana keseriusan pelaksanaannya.
Tegas beliau rakyat sudah terlalu lama mendengar pelbagai pengumuman, lawatan tapak dan kenyataan bahawa isu air sedang “dalam tindakan”, “diusahakan” serta “akan dipertingkatkan”.
“Realitinya rakyat di Pulau Sebatik dan Gugusan Felda Umas masih terus berdepan gangguan bekalan air berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian, persekolahan anak-anak, aktiviti ekonomi dan kesihatan penduduk.
“Cadangan memperdalam kolam takungan di Wallace Bay sememangnya langkah yang baik.
“Bagaimanapun kita bimbang rakyat akan terus melihatnya sebagai satu lagi janji yang berisiko terkubur seperti pelbagai pengumuman sebelum ini sekiranya pelaksanaan projek terus perlahan tanpa garis masa jelas dan pemantauan telus,” katanya.
Mengulas lanjut Manahing menyatakan kebergantungan kepada lori tangki dan bantuan air mineral setiap kali krisis berlaku jelas menunjukkan penyelesaian struktural terhadap isu itu masih belum benar-benar dicapai.
Menurutnya keadaan itu amat membimbangkan khususnya di Gugusan Felda Umas-Umas apabila masyarakat seolah-olah terus dipaksa bergantung kepada bantuan kecemasan yang tidak boleh dijadikan mekanisme kekal bagi memenuhi keperluan asas rakyat.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak pengurusan Felda supaya tidak sekadar menunggu intervensi luar tanpa pelan penyelesaian dalaman yang lebih proaktif dan menyeluruh.
“Isu bekalan air berulang di kawasan penempatan Felda memerlukan tahap kebertanggungjawaban pengurusan yang lebih jelas termasuk dari sudut penyelenggaraan sistem, penyelarasan tindakan kecemasan serta pelaksanaan penyelesaian jangka panjang yang benar-benar berkesan.
“Rakyat di Sebatik dan Gugusan Felda Umas-Umas bukan meminta ihsan bermusim. Mereka menuntut hak asas untuk menikmati bekalan air bersih yang stabil dan konsisten,” tegasnya.
Dalam pada itu beliau membangkitkan persoalan bila projek memperdalam kolam takungan Wallace Bay akan dimulakan dan disiapkan serta berapa kapasiti tambahan bekalan air yang dijangka dapat diselesaikan menerusi projek berkenaan.
Manahing turut mempersoalkan pelan penyelesaian khusus pihak pengurusan Felda bagi memastikan penduduk di Gugusan Umas-Umas tidak terus bergantung kepada bantuan kecemasan.
Beliau juga bertanya siapa yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya pelaksanaan projek terus tertangguh tanpa penyelesaian konkrit.
“Air bukan isu kecil untuk dipolitikkan setiap kali krisis berlaku. Air adalah keperluan asas rakyat. Cukuplah rakyat dipaksa hidup dalam ketidakpastian sedangkan penyelesaian yang dijanjikan masih belum benar-benar dirasai di lapangan.
“Rakyat Sebatik dan Gugusan Felda Umas-Umas tidak lagi mahu retorik semata-mata. Mereka mahukan tindakan, pelaksanaan tegas dan hasil yang benar-benar mampu menjamin masa depan generasi akan datang,” katanya.