BELURAN: Dua individu mengalami kecederaan parah selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) di Jalan Sapi Nangoh-Botition, petang Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Beluran, ACP Azhani Amat Khairi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.54 petang.
Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah pikap pacuan empat roda dengan motosikal.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda terbabit dalam perjalanan dari Kampung Cenderamata menuju ke Pekan Botition.
“Ketika pemandu itu memasuki simpang kanan, sebuah motosikal dari arah belakang dipercayai cuba memotong sebelum melanggar bahagian pintu kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Katanya, susulan kemalangan itu pemandu 4WD yang juga lelaki warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala seorang lelaki dan wanita, masing-masing penunggang dan pembonceng dipercayai warga asing Filipina, dilaporkan mengalami kecederaan parah,” katanya.
Tambahnya, penunggang motosikal mengalami patah kaki kiri, manakala pembonceng patah tangan kiri serta kaki kanan.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan menggunakan ambulans dari Klinik Kesihatan Nangoh dan kini menerima rawatan di Zon Trauma HDOK,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.