Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Tham Yun Fook menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan enam langkah bagi menangani keganasan di sekolah, susulan video tular memaparkan lima pelajar perempuan remaja didakwa membelasah seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.
Langkah yang dicadangkannya ialah:
- Memperkukuh prosedur penguatkuasaan antibuli di sekolah;
- Mengenakan tindakan disiplin lebih tegas terhadap pelajar terlibat dalam keganasan;
- Menjadikan sesi kaunseling dan penglibatan ibu bapa sebagai mandatori;
- Mempertingkat kerjasama antara sekolah dan polis;
- Memperhebat pendidikan moral dan kempen kesedaran antibuli; dan
- Memantau secara ketat penyalahgunaan media sosial untuk membuli atau merancang tindakan ganas.
Tham berkata kejadian itu melangkaui pertikaian biasa dalam kalangan pelajar dan merupakan kes serius membabitkan serangan berkumpulan, ugutan serta penghinaan.
“Lebih membimbangkan ialah dakwaan bahawa mangsa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada keluarga atau polis,” katanya.
“Tingkah laku seperti ini jelas melangkaui isu disiplin sekolah dan telah menjadi cabaran kepada kedaulatan undang-undang serta nilai moral asas,” tambahnya.
Polis telah melancarkan siasatan awal berhubung kes itu.
Tham berkata insiden berkenaan mencerminkan trend membimbangkan apabila budaya buli semakin ganas, tersusun dan dilakukan secara terbuka, sambil menegaskan mekanisme pencegahan, sistem kaunseling dan tindakan disiplin sedia ada tidak lagi memadai.
Beliau turut menggesa ibu bapa dan pihak sekolah memberi perhatian lebih serius terhadap kesejahteraan emosi serta pergaulan sosial anak-anak, selain meminta polis menyelesaikan siasatan dengan segera.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar belajar dan membesar, bukannya persekitaran yang menyebabkan kanak-kanak hidup dalam ketakutan. Sebarang bentuk buli dan keganasan tidak boleh didiamkan atau ditoleransi,” katanya.