Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menyeru rakyat Sabah terus memperkukuh perpaduan, semangat hormat-menghormati dan keharmonian sempena sambutan Aidiladha hari ini (Rabu).
Dalam perutusan Hari Raya Aidiladha, beliau berkata Aidiladha adalah antara peristiwa paling besar dalam kalendar Islam yang sarat dengan pengajaran dan hikmah daripada pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.
“Sambutan ini mengingatkan kita kepada pengorbanan besar Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, yang mencerminkan ketaatan tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah SWT.
“Semangat pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh dua Nabi mulia ini wajar dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian,” katanya.
Musa berkata pengorbanan bukan hanya terbatas kepada ibadah korban semata-mata, tetapi turut merangkumi pengorbanan masa, tenaga dan pemikiran demi kesejahteraan keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
“Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, rakyat perlu terus memperkukuh semangat kebersamaan, bantu-membantu dan toleransi supaya keharmonian yang sekian lama dinikmati terus terpelihara,” katanya.
Musa menyifatkan masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama sebagai satu rahmat, sambil menegaskan kepelbagaian dan budaya saling menghormati di negeri ini kekal menjadi kekuatan terbesar Sabah.
“Sabah amat bertuah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup bersama dalam suasana toleransi dan hormat-menghormati.
“Keunikan ini adalah kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya semangat perpaduan yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terus terjamin,” katanya.
Musa turut menyeru rakyat Sabah terus menyemai nilai kasih sayang, persefahaman dan hormat-menghormati sambil mengetepikan perbezaan yang boleh menjejaskan hubungan dalam masyarakat.
Katanya, rakyat juga perlu memupuk semangat muafakat dan kerjasama demi masa depan negeri yang lebih baik dan makmur.
Beliau berkata sambutan Aidiladha juga perlu dijadikan peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan melalui amalan ziarah, saling bermaafan dan membantu golongan memerlukan.
“Nilai-nilai ini menjadi asas kepada masyarakat yang prihatin dan penyayang,” katanya.
Musa turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan, anggota keselamatan, petugas kesihatan, penjawat awam serta semua pihak yang terus melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negeri termasuk ketika musim perayaan.
Beliau turut mendoakan jemaah haji dari Sabah dan seluruh Malaysia yang sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci agar dikurniakan kesihatan yang baik dan memperoleh haji mabrur.
Kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah korban, Musa mengingatkan agar ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan mematuhi tuntutan syariah, di samping menghayati nilai rendah diri, kesyukuran dan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan terutama mereka yang pulang ke kampung atau menziarahi saudara-mara.
“Jadikan keselamatan di jalan raya sebagai keutamaan dan sentiasa berhati-hati demi kesejahteraan semua,” katanya.
Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam, khususnya rakyat Sabah di mana sahaja berada.
Beliau berharap sambutan Aidiladha tahun ini membawa keberkatan, keamanan dan kebahagiaan kepada semua selain terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian di negeri ini.