KAJANG: Kerajaan menetapkan had maksimum RM499 bagi tiket penerbangan sehala kelas ekonomi dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak untuk tempoh tiga hari sebelum sambutan Kaamatan dan Hari Gawai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan akan menanggung subsidi bagi perbezaan antara harga pasaran sebenar yang ditetapkan syarikat penerbangan dengan kadar tambang siling itu.
“Sekarang sudah menjadi amalan standard bagi penerbangan musim perayaan ke Sabah dan Sarawak dihadkan pada RM499. Ini bukan ditanggung syarikat penerbangan kerana kerajaan perlu membayar tambahan kepada syarikat penerbangan bagi memastikan mereka hanya mengenakan caj maksimum RM499 untuk tempoh tiga hari sebelum perayaan.
“Subsidi yang diberikan kementerian akan meningkat kerana jika tiket berharga RM1,000, jumlah maksimum yang dibayar penumpang ialah RM499. Kerajaan akan menanggung baki RM501 kepada syarikat penerbangan,” katanya selepas melawat pusat pemeriksaan kenderaan Carro Technology Sdn Bhd di sini, Selasa.
Beliau berkata kadar tambang siling itu hanya terpakai bagi perjalanan sehala ke Malaysia Timur sebelum sambutan perayaan kerana tarikh perjalanan pulang biasanya lebih berselerak dan tidak mengalami permintaan tinggi yang sama.
Kaamatan disambut setiap tahun pada 30 dan 31 Mei di Sabah, manakala Hari Gawai disambut pada 1 dan 2 Jun di Sarawak.