Kota Kinabalu: Seramai 11 orang pendatang asing tanpa izin (PTI) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pelbagai kesalahan imigresen.
Kesemua warga Filipina dan Indonesia itu mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Hurman Hussain sebelum hukuman dijatuhkan mengikut kesalahan masing-masing.
Sepuluh daripada mereka dipenjara selama empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Lapan warga Filipina dan seorang warga Indonesia ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di kawasan Kudat.
Semasa operasi dijalankan pendatang asing terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan kepada pegawai imigresen.
Dalam rayuan mitigasi mereka memohon hukuman diringankan dan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing secepat mungkin serta hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.
Sementara itu seorang wanita warga Indonesia dipenjara keseluruhan 10 bulan kerana memasuki negeri ini secara haram dan melanggar syarat pasportnya.
Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara tidak sah manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum penjara enam bulan lagi kerana melanggar syarat pasport.
Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh tangkapannya.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara kesemua 10 individu terbabit diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Inspektor Percubaan (PI) Kamrul Md Yusof dari Jabatan Imigresen hadir mewakili pihak pendakwaan.