Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengamalkan model pertumbuhan seimbang yang menuntut nilai ekonomi adil terhadap sumbangan alam sekitar negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Sabah tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar, namun pada masa sama tidak boleh menerima pendekatan idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan rakyat.
“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan melulu dan kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik.
“Jalan terbaik untuk Sabah ialah model pertumbuhan seimbang.
“Itulah pertumbuhan dengan disiplin, pemuliharaan dengan nilai, pelaburan dengan tanggungjawab, peralihan tenaga dengan kemampuan dan kelestarian dengan keadilan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia (WGSS) bertemakan Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, Isnin.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.
Hajiji berkata walaupun Sabah sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, negeri ini memiliki kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia masa kini.
Katanya, Sabah dikurniakan modal semula jadi yang kaya, biodiversiti luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, potensi tenaga, kedudukan geografi strategik serta kestabilan politik.
“Paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan.
“Peluang di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti penting dunia dan mengekalkan antara kadar kawasan perlindungan tertinggi di rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, Sabah hari ini diiktiraf sebagai peneraju penting dalam pemuliharaan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negeri ini pada kedudukan baik untuk menjadi destinasi pelaburan bertanggungjawab dan mampan.
Hajiji berkata fasa seterusnya pertumbuhan hijau Sabah ialah bergerak daripada pemuliharaan semata-mata kepada pemuliharaan yang mempunyai nilai ekonomi.
“Kita bergerak daripada sekadar melindungi sumber kepada membangunkan industri bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut.
“Kita juga bergerak daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau,” katanya.
Beliau berkata usaha itu termasuk membangunkan pasaran karbon yang memberi manfaat kepada Sabah, menarik pelaburan hijau berkualiti dan mengembangkan industri tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan serta inovasi berasaskan biodiversiti.
Katanya, syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti setempat juga perlu menjadi sebahagian daripada rantaian nilai ekonomi berkenaan.
Menurut Hajiji, Sabah telah lama melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan ekosistem kaya di rantau ini sebelum agenda kelestarian menjadi perhatian dunia.
“Hari ini hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), dan ini bukan satu komitmen kecil,” katanya.
Beliau berkata WGSS menjadi platform penting membincangkan isu kelestarian yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.
Bagaimanapun, katanya, kelestarian tidak boleh sekadar kedengaran baik di dewan persidangan, sebaliknya mesti berfungsi di peringkat akar umbi dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan.
“Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan kehidupan masa kini perlu dinilai dengan teliti.
“Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukan model yang sesuai untuk Sabah.
“Bagi Sabah, kelestarian mesti bersifat praktikal, adil, mampu dilaksanakan dan paling penting memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.