Kota Kinabalu: Sabah kini tidak mempunyai pakar pediatrik perkembangan tetap walaupun kes autisme di negara ini terus meningkat, kata Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang.
Beliau berkata keluarga di Sabah terpaksa mendapatkan penilaian perkembangan kanak-kanak autisme di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor kerana ketiadaan pakar berkaitan di negeri ini.
“Sabah yang mempunyai hampir empat juta penduduk ketika ini tidak mempunyai pakar pediatrik perkembangan tetap, sama ada di sektor awam mahupun swasta,” katanya pada Seminar Pendidikan Autisme 2026 di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabtu.
Menurut Dr Brandon, ketika ini terdapat kurang daripada 20 pakar pediatrik perkembangan berdaftar di seluruh negara untuk memenuhi keperluan kira-kira 33 juta penduduk Malaysia.
Beliau berkata jumlah kanak-kanak autisme yang didiagnosis dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat meningkat ketara daripada 6,991 kes pada 2013 kepada lebih 53,000 kes pada 2023 dan hampir 59,000 kes menjelang akhir 2024.
Katanya, kadar prevalens autisme dalam kalangan kanak-kanak usia sekolah di Malaysia turut meningkat daripada 6.34 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2018, kepada 9.29 bagi setiap 1,000 kanak-kanak pada 2022.
Dr Brandon berkata ibu bapa di Sabah lazimnya mula menyedari perbezaan perkembangan anak seawal usia dua tahun, namun diagnosis rasmi sering tertangguh sehingga sekitar usia empat tahun.
“Bagi kanak-kanak autisme, setiap bulan amat penting. Diagnosis awal bermakna intervensi awal, dan intervensi awal membawa kepada hasil perkembangan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberi keutamaan terhadap latihan serta penempatan pakar pediatrik perkembangan di Sabah, termasuk memperkenalkan skim ikatan perkhidmatan untuk doktor berasal dari Sabah.
Selain itu, katanya, elaun wilayah bagi pakar yang berkhidmat di Sabah perlu dipertingkatkan selain memperluas pelaksanaan perkhidmatan telekesihatan dan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur sokongan khusus autisme di negeri ini.
Menurutnya, pengumpulan data lebih menyeluruh menerusi pendaftaran autisme Sabah juga penting bagi membantu perancangan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan berkaitan.
Seminar itu dianjurkan MMA Cawangan Sabah dengan sokongan Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah dan Yayasan MMA.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Kevin Chia.