Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api dari Parti Warisan, yang cuba menggambarkan Kerajaan GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai meminggirkan masyarakat Cina, dengan kononnya menggunakan peruntukan kerajaan sebagai “alat politik”.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Kiulu, Datuk George Teo berkata, kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan syak wasangka serta perpecahan kaum dalam kalangan rakyat Sabah.
Beliau berkata, walaupun Warisan memenangi lapan daripada sembilan kerusi majoriti Cina pada pilihan raya negeri lalu, ia tidak pernah menyebabkan Kerajaan GRS mengabaikan masyarakat Cina di Sabah.
“Sebaliknya, keputusan itu mendorong Kerajaan GRS untuk bekerja lebih keras dalam memahami dan menangani isu yang dihadapi masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan.
George menegaskan Kerajaan GRS yang disokong 54 Adun kekal komited menjaga kepentingan semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik.
“Kerajaan negeri hari ini mengamalkan pendekatan inklusif dan mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah. Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak membuat tuduhan tidak berasas yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat majmuk kita,” katanya.
Advertisement

Sementara itu, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik merangkap Ketua Bahagian Api-Api, Sim Fui berkata Kerajaan GRS secara konsisten menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan, kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina di Sabah melalui pelbagai dasar serta inisiatif bantuan.
Menurut beliau, dakwaan bahawa Kerajaan GRS mengetepikan masyarakat Cina adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta serta rekod pentadbiran semasa.
“Kerajaan GRS sentiasa mengamalkan pentadbiran yang adil dan inklusif untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata antara bukti jelas komitmen kerajaan ialah peningkatan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada sembilan sekolah menengah persendirian Cina di Sabah, selain pengiktirafan rasmi terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Kerajaan negeri juga menyediakan biasiswa dan peluang pendidikan kepada graduan UEC sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Cina di Sabah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM70 juta kepada persatuan bukan Islam, rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi komuniti, termasuk yang melibatkan masyarakat Cina.
“Semua inisiatif ini jelas membuktikan Kerajaan GRS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum atau komuniti disebabkan perbezaan politik,” katanya.
Sim turut menggesa semua pihak menghentikan politik perkauman dan tidak mewujudkan naratif yang boleh mencetuskan salah faham serta ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Sabah sentiasa dikenali dengan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama. Apa yang diperlukan rakyat hari ini ialah kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan perpaduan — bukannya politik kebencian dan perpecahan,” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu menegaskan semula bahawa Kerajaan GRS akan terus bekerja keras demi kepentingan semua rakyat Sabah selaras dengan semangat “Sabah First, People First”.