Thu, 7 May 2026
Headlines:
‘Dakwaan Adun cuba tutup kesilapan kerajaan dahulu’
Published on: Tuesday, May 05, 2026
Published on: Tue, May 05, 2026
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:
Text:
‘Dakwaan Adun cuba tutup kesilapan kerajaan dahulu’
Armizan berkata pendirian itu amat mengecewakan kerana menolak salah satu saluran penting untuk mempertahankan hak perlembagaan Sabah, namun kini pihak berkenaan cuba tampil seolah-olah pejuang utama.
PAPAR: Dakwaan Adun Kepayan daripada Parti Warisan, yang mengaitkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan penolakan usul persendirian berkaitan hak 40 peratus Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, disifatkan sebagai cubaan menutup kesilapan besar pentadbiran Warisan sebelum ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata dua keputusan utama kerajaan Warisan pada 2019 berkaitan isu itu merupakan bukti jelas kegagalan mereka mempertahankan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement
Menurutnya, kesilapan pertama berlaku pada Ogos 2019 apabila kerajaan Warisan menerusi Ketua Menteri ketika itu yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, secara terbuka di DUN Sabah menyatakan kerajaan negeri tidak wajar membawa tuntutan 40 peratus ke mahkamah.

“Menjawab soalan Dr Jeffrey Kitingan di DUN pada 1 Ogos 2019 sama ada kerajaan negeri mahu mempertimbangkan membawa isu 40 peratus ke mahkamah, beliau (Shafie) menyatakan secara terbuka bahawa kerajaan negeri merasakan tidak wajar berbuat demikian.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Kesilapan kedua yang lebih serius berlaku pada Oktober 2019 apabila kerajaan Warisan melalui keputusan Jemaah Menteri negeri bersetuju menerima semakan kadar pemberian khas daripada RM26 juta kepada hanya RM53.4 juta yang dibuat secara bertulis kepada Kementerian Kewangan Persekutuan, dan jumlah ini bukan sahaja terlalu rendah, malah jauh menyimpang daripada semangat sebenar tuntutan 40 peratus yang sepatutnya bernilai berbilion ringgit,” katanya pada sidang media sempena Taklimat Status Projek Daerah Papar, di sini, Isnin.  

Armizan berkata pendirian itu amat mengecewakan kerana menolak salah satu saluran penting untuk mempertahankan hak perlembagaan Sabah, namun kini pihak berkenaan cuba tampil seolah-olah pejuang utama.

Advertisement
“Rekod rasmi menunjukkan sebaliknya, iaitu kegagalan besar kerajaan Warisan dalam mempertahankan kepentingan Sabah,” tegasnya.

Sebelum ini, Adun Kepayan Chin Tek Ming melalui kenyataan di dalam dan luar DUN, termasuk sidang media, mengaitkan kerajaan GRS dengan penolakan usul persendirian beliau mengenai tuntutan 40 peratus, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan negeri tidak menyokong perjuangan tersebut.

Advertisement
Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menegaskan tindakan Adun Kepayan membawa usul persendirian dan kemudian menuding jari kepada GRS adalah satu tindakan retorik. Beliau berkata usul berkenaan ditolak atas keputusan Speaker DUN dan bukannya oleh GRS atau kerajaan negeri seperti yang cuba digambarkan.

“Cubaan menyalahkan GRS adalah naratif yang sengaja dibina untuk mengelirukan rakyat dan menutup rekod lampau mereka sendiri.

“Lebih membimbangkan, ia juga bertujuan mencipta persepsi kononnya kerajaan negeri dan wakil rakyat lain tidak menyokong perjuangan 40 peratus, sedangkan hakikatnya kerajaan hari ini jauh lebih konsisten dan tegas dalam memperjuangkan hak tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan usul persendirian itu bermotifkan politik semata-mata, termasuk cubaan “menumpang” momentum perjuangan yang kini berada pada fasa penting rundingan kerajaan GRS dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini strategi ‘potong jalan’. Jika usul ini tidak disokong, mereka akan mendakwa pihak lain menolak perjuangan. Jika disokong, mereka mahu tampil sebagai hero. Hakikatnya, perjuangan ini telah lama digerakkan secara berstruktur oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kekal konsisten melalui pendekatan rundingan dan tindakan perundangan, termasuk memfailkan hujahan di mahkamah bagi menegaskan hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan.

“Selain konsisten, kita juga komited dan tegas dalam menuntut bahawa 40 peratus hak Sabah adalah hak perlembagaan yang perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan. ‘No question about it’,” katanya.

Beliau berkata perkembangan terkini turut menunjukkan komitmen jelas apabila kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pemberian khas daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion sebagai langkah awal, seperti ditegaskan Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun sebelum ini. Armizan berkata sekiranya penyelesaian masih belum dicapai, beliau akan mencadangkan Kelab Backbenchers supaya membawa satu usul rasmi dalam sidang DUN akan datang bagi menegaskan tuntutan 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan, termasuk dua keputusan kerajaan Warisan pada 2019.

“Kita mesti meletakkan perkara ini dalam rekod rasmi DUN supaya generasi akan datang mengetahui fakta sebenar — siapa yang benar-benar konsisten memperjuangkan hak Sabah dan siapa yang membuat keputusan yang merugikan negeri.

“Justeru, sayang sekali Adun Kepayan ini lambat menjadi wakil rakyat. Jika lebih awal menjadi YB ketika kerajaan Warisan, saya fikir beliau sudah tentu boleh menasihati Ketua Menteri supaya tidak bersetuju menerima pemberian khas RM53.4 juta ini,” katanya.  

Dalam pada itu, Armizan berkata pengiktirafan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap hak 40 peratus Sabah sebagai hak perlembagaan, termasuk kenyataan rasmi di Parlimen, merupakan perkembangan penting yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, fokus ketika ini adalah memastikan hasil rundingan dimuktamadkan segera kerana Sabah memerlukan peruntukan tambahan bagi menangani isu rakyat seperti bekalan air, infrastruktur dan pembangunan asas.

“Namun pada masa sama, fakta sejarah tidak boleh diputar belit atau disembunyikan demi kepentingan politik sempit,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here