LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dinaikinya dan sebuah lori di bulatan KM6 Jalan Lahad Datu–Sandakan, di sini, Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata kejadian kira-kira 9.10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke arah Sandakan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dari arah bertentangan membuat pusingan-U di bulatan tersebut.
“Disebabkan jarak yang dekat, motosikal yang datang dari arah Lahad Datu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori.
“Impak perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya, menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 bagi membantu siasatan.
Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Di SANDAKAN, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Batang, Batu 10, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa sedang bergerak dari arah Batu 8 menuju ke Batu 12, manakala sebuah kereta Perodua Axia datang dari arah bertentangan.
“Kereta tersebut dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya.
Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat. Pemandu kereta itu pula mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima rawatan di hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.