SANDAKAN: Hanya 10 hari selepas kejadian kebakaran besar di Kampung Bahagia Batu Sapi, 30 rumah kayu lagi musnah terbakar di kawasan setinggan PPH Karamunting, awal pagi Rabu, sekali gus menyebabkan hampir 200 orang hilang tempat tinggal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 3.16 pagi dan segera mengerah 21 anggota diketuai komander operasi, Rosemedian Majid ke lokasi sejauh 16km itu.
Turut membantu di lokasi, anggota unit dron, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Rela, Tentera Laut Diraja Malaysia serta orang awam.
Dalam operasi tersebut, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
Jelasnya, operasi terkawal pada jam 4.29 pagi dan ditamatkan pada jam 7.01 pagi, sekali gus menyelamatkan 100 lagi rumah daripada turut terbakar.
“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilapor terlibat, manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya.
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Air turut dibuka bagi menempatkan 186 mangsa dari 40 keluarga.
Salah seorang mangsa kebakaran yang telah tinggal selama 20 tahun di lokasi kejadian, Halimah Hassan, 56, terkejut namun terpaksa reda dengan nasib yang menimpa dirinya dan keluarga.
Anggota Rela itu yang bertugas di PPS Kampung Bahagia sejak 19 April lalu, berkata beliau tidak menyangka akan mengalami insiden serupa, apatah lagi melihat sendiri kesusahan mangsa kebakaran Kampung Bahagia yang hilang tempat tinggal.
“Saya sebenarnya bertugas syif malam di PPS Kampung Bahagia pada hari kejadian dan bergegas pulang sejurus menerima panggilan telefon daripada anak saya yang mengatakan rumah kami terbakar,” katanya.
Halimah dan keluarga kini terpaksa tinggal di PPS Dewan Kampung Air dan masih memikirkan arah tujuan seandainya PPS tersebut tidak lagi beroperasi.