TAWAU: Seorang penjawat awam lelaki berusia 42 tahun ditangkap pada Isnin selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan Tanjung Batu Tengah bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek ditahan sekitar jam 10.45 pagi di tepi Jalan Tungku, Felda Sahabat, Lahad Datu oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Advertisement

Katanya kejadian jenayah itu dilaporkan oleh seorang wanita tempatan, 61, pada 26 Mac lalu di Balai Polis Tawau selepas mendapati rumahnya dimasuki individu tidak dikenali.
“Mangsa menyedari kejadian itu selepas pulang ke rumah pada malam 25 Mac sebelum mendapati jeriji besi tingkap belakang rumah dirosakkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jasmin berkata pemeriksaan mendapati pelbagai barangan dilaporkan hilang, termasuk dua komputer riba, sebuah televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa polis memandang serius kes jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
Beliau juga menasihatkan rang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.