SEMPORNA: Sebanyak 2,425 liter petrol dirampas dalam Ops Tiris 4.0 di perairan Terumbu Pasalat berhampiran Pulau Igang-Igang, di sini, pada Khamis.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna berkata rampasan itu dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Semporna sebelum diserahkan kepada KPDN Semporna.
Petrol yang disimpan dalam 97 tong jeriken itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Pasukan turut merampas sebuah bot kayu bersama enjin yang dipercayai digunakan untuk mengangkut petrol terbabit.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM19,275 termasuk barangan kawalan bernilai RM9,869.75.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” kata kementerian itu.
KPDN Semporna turut memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan tindakan perundangan.
Advertisement

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat pula, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM5,000,000 jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui WhatsApp di 019-848 8000, pusat panggilan di 1-800-886-800, atau menerusi aplikasi Ez ADU KPDN.